PN mohon PDRM bersikap profesional pelihara kemuliaan Dewan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar bersikap profesional memelihara kemuliaan Dewan Negeri Selangor berikutan tindakan mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah (KAJ) kepada ADUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini adalah satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip kekebalan dan perlindungan yang diberikan kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengemukakan ucapan dan hujah di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

- Advertisement -

“Berdasarkan butiran dalam Notis Seksyen 111 KAJ yang diserah kepada Datuk Seri Azmin Ali, nyata tercatat dengan jelas bahawa siasatan yang dilakukan oleh pihak PDRM adalah berkenaan dengan ucapan beliau di dalam Dewan Negeri Selangor pada 28 Februari 2024, jam 3:30 petang.

“Tambahan pula, difahamkan bahawa komunikasi antara pihak Polis dan Datuk Seri Azmin Ali dalam proses penyampaian Notis tersebut jelas menyebut bahawa siasatan dilakukan berkaitan dengan perbahasan yang dibuat oleh beliau dalam Dewan Negeri Selangor,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian menurutnya, kenyataan susulan oleh Ketua Polis Selangor yang cuba menafikan bahawa siasatan yang ingin dilakukan tersebut adalah mengenai perkara yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Azmin Ali dalam ucapannya pada 28 Februari 2024 di dalam Dewan Negeri Selangor.

“Kononnya adalah berkenaan dengan pendedahan maklumat yang mengandungi fakta yang salah di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan adalah tidak berasas sama sekali, dan satu cubaan untuk menutup kesilapan.

“Ternyata ia adalah satu dalihan fikir kemudian (after thought excuse) setelah tindakan yang tidak demokratik tersebut menerima kritikan demi kritikan daripada rakyat.

“Maka, PN ingin menegaskan bahawa sekalipun fakta-fakta yang didedahkan tersebut adalah bersumberkan dokumen yang kononnya disifatkan sulit, Datuk Seri Azmin Ali, sebagaimana mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri tetap mempunyai kekebalan dan perlindungan di bawah Perkara 77 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 dibaca bersama Seksyen 2 dan 3 (Jadual).

“Ini apatah lagi bila mana beliau menimbulkan isu tatakelola pentadbiran yang perlu diperbahaskan sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui saluran yang betul,” tegas beliau yang juga Setiausaha Ahli Parlimen Kota Bharu.

Oleh yang demikian jelasnya, PN tetap dengan pendirian bahawa tindakan yang dilakukan oleh pihak Polis dengan menyerahkan Notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah tersebut adalah satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

PN juga tambahnya melahirkan kekesalan yang amat sangat tentang cara isu ini dikendalikan oleh pihak Polis dan Kerajaan Madani, yang sanggup menggunakan apa sahaja helah demi helah bagi menutup ruang perdebatan isu-isu rakyat. 

“Bahkan, aparatus kerajaan telah digunakan sewenang-wenangnya untuk melakukan ‘political persecution’ (penganiayaan politik) dan mewujudkan persepsi negatif terhadap ahli-ahli politik pembangkang, tanpa segan silu, bagi mempertahankan imej Kerajaan Madani yang semakin hari semakin tercalar.

“Justeru, PN mengulangi gesaan agar Notis tersebut ditarik balik serta-merta, dan Kerajaan Madani menghentikan sebarang bentuk tindakan yang tidak demokratik dan melanggar prinsip asas undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -