Pemuda PAS buat laporan polis lagi

Muhamad Sufi (kanan) dan Iqman selepas membuat laporan polis di IPD, Gombak, Kuala Lumpur pada 29 Mac 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis oleh Pemuda PAS telah dibuat terhadap pengguna laman sosial Facebook Zunar Fans Cartoonist Fan Club mengenai lukisan Kaabah dan Makkah sebagai tempat kesucian umat Islam dikaitkan dengan amalan rasuah terhadap mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Gombak, Muhamad Sufi Kamari berkata, mengaitkan Kaabah dan Makkah sebagai tempat suci seluruh umat Islam dengan amalan rasuah benar-benar merupakan satu penghinaan di bulan Ramadan yang mulia ini.

- Advertisement -

“Saya tidak boleh terima kerana mereka (Zunar Fans Cartoonist Fan Club) mengaburi maklumat dengan mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yaasin keluar Kaabah terus mendapat sakau/rasuah yang amat jelas merupakan satu penghinaan,” kata beliau ketika kepada HarakahDaily, di sini, pada hari ini.

Beliau mengutuk tindakan tersebut seolah-olah mereka ingin memaparkan seorang pemerintah yang sudah masuk dan keluar Kaabah akan terus-menerus membuat sebarang rasuah sedangkah Kaabah merupakan bangunan yang suci daripada segala dosa.

“Ini amat jelas bukan ajaran Islam. Mana mungkin kita sebagai umat Islam akan membiarkan penghinaan sebegini berlaku lebih-lebih lagi pada bulan suci ini. 

Jadi, kami membuat laporan polis sebagai antara langkah utama bagi mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tersebut,” tegas beliau.

Laporan polis telah dibuat oleh beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada jam  6.41 petang Rabu, yang turut ditemani Exco Lajnah Isu Rakyat dan NGO Dewan Pemuda PAS Gombak, Iqman Iberahim.

Sehubungan itu, Muhamad Sufi  turut memberikan amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan budaya sebegitu kerana ianya memberikan imej yang amat negatif dalam khalayak ramai.

“Kita mahu agar karikatur ini ditarik keluar dan segala hantaran hantaran yang menghina kesucian ummat Islam yang boleh menimbulkan ketegangan dan keresahan dihalang daripada diletakkan di laman sosial media,” tegas beliau.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia ,Nazir dalam kenyataannya berkata, Pemuda PAS akan menggerakkan laporan polis besar-besaran terhadap pelukis dan admin page Zunar Cartoonist Fan Club atas penghinaan ini apatah lagi umat Islam sedang menyambut bulan mulia Ramadan. 

“Sensitiviti ini gagal difahami dan dihayati oleh pentaksub Pakatan Harapan kerana nilai agama seolah bukanlah mustahak bagi mereka sehingga sanggup menjadikan lambang kemuliaan agama ini sebagai bahan mainan bagi menjentik emosi musuh politik ketika pihak kerajaan gagal memberi justifikasi kehadiran Perdana Menteri ke-10 (PMX) ke Arab Saudi,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -