
KUALA LUMPUR: Proses memberi keterangan untuk saksi kanak-kanak bagi mahkamah tentera wajar dilakukan secara maya atau video rakaman sebagai salah satu opsyen dalam proses itu.
Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia bagi mengurangkan tekanan mental yang mungkin dihadapi oleh kanak-kanak yang menjadi saksi tersebut.
“Bagi saksi kanak-kanak yang merupakan mangsa serangan seksual, mahkamah tentera perlu menyesuaikan sikit kepada keperluan privasi dan kesejahteraan mental mangsa tersebut.
“Proses berbicaraan kehakiman adalah menggerunkan kepada kanak-kanak apatah lagi kanak-kanak yang merupakan mangsa serangan seksual,” ujarnya.
Presiden Gerakan itu berkata demikian sewaktu membahaskan untuk meminda Akta Angkatan Tentera 1972 berkaitan keterangan saksi kanak-kanak di Dewan Negara, hari ini.
Tambahnya, proses praperbicaraan dalam konteks mahkamah tentera dapat ditambah baik dengan kaedah-kaedah yang meminimalkan tekanan mental kanak-kanak dan menyediakan mereka menghadapi proses perbicaraan.
“Misalnya mahkamah tentera boleh mengadakan supportive interview atau temubual yang menyokong kepada saksi kanak-kanak praperbicaraan untuk memberi mereka satu gambaran tentang proses perbicaraan.
“Menerangkan kepada mereka hak-hak sebagai seorang saksi, serta kaedah yang boleh membantu mereka mengurangkan rasa tekanan semasa perbicaraan di jalankan,” katanya.
Menurut Dominic, ia dapat meningkatkan ketepatan keterangan saksi kanak-kanak dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan mental saksi kanak-kanak tersebut.
“Ingat keterangan saksi kanak-kanak yang tepat bermakna kita dapat mempertahankan kepentingan terbaik, the best interest masyarakat serta semua individu yang terlibat dalam prosiding undang-undang,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 23/7/2024











