KLANG: Berilmu dan berpengetahuan khususnya dalam ilmu Al-Quran dan hadis serta mendalami pengetahuan umum yang lain adalah salah satu ciri pemimpin berwibawa, kata perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Raja, Maisarah Abdullah Zawawi.
Menurutnya, ini selari dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu ayat 1 hingga 5 Surah Al-Alaq.
Beliau berkata, seorang pemimpin juga mesti melaksanakan tanggungjawab dakwah di semua peringkat iaitu negeri, kawasan dan cawangan.
“Pemimpin juga perlu menitikberatkan urusan ibadah iaitu tunduk dan patuh kepada syariat agama dalam setiap urusan sama ada dalam menjalani perintah agama, urusan dunia mahupun urusan kepimpinan. Ibadah kita sebagai pemimpin mesti berbeza daripada orang lain,” ujarnya dalam perbahasan ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS negeri pada muktamar tahunan dewan itu di sini, hari ini.
Muktamar berkenaan telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri. Turut hadiri ialah timbalannya, Sabirin Marsono, pemerhati daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia, Zuraida Md Noor dan Norhafiza Fadzil.
Tambah Maisarah lagi, pemimpin berwibawa haruslah menjaga keterampilan diri yang bersih bukan sahaja aspek fizikal tetapi sahsiah yang baik, gerak kerja serta kepimpinan.
“Akhir sekali, pemimpin berwibawa mestilah sentiasa bersabar dan ikhlas dalam melaksanakan gerak kerja serta dalam berukhuwah.
“Muslimat juga diseru agar terus istiqamah dalam meneruskan legasi perjuangan menegakkan agama Islam yang tercinta,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024