Kesungguhan dakwah Nabi Nuh

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendakwah diseru mencontohi kesungguhan Nabi Nuh A.S. dalam melaksanakan perintah Allah iaitu berdakwah selama 950 tahun meskipun dalam keadaan sedih kerana tidak diterima kaumnya.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata Nabi Idris hidup antara zaman Nabi Adam dan Nabi Nuh dan pada masa itu, semua orang beriman.

“Oleh sebab itu, Nabi Idris kurang dalam berdakwah kerana hidup dalam masyarakat yang baik. Kerjanya sebagai seorang tukang jahit, tukang jahit yang pertama di dunia.

“Setelah Nabi Idris wafat, manusia mula digoda oleh syaitan dan akhirnya syirik kepada Allah. Kesyirikan itu berlaku dalam tempoh masa yang lama.

“Lalu, Allah menghantar Nabi Nuh. Kaumnya menyembah berhala dan hidup dalam keadaan yang tidak baik. Ia menyebabkan Nabi Nuh menegur mereka. Tegurannya tidak didengari kerana dia lebih muda, akhirnya dia menangis seorang diri.

“Nabi Nuh sentiasa berair mata dan sedih. Lalu, Allah menyerunya yang bermaksud ‘Wahai Nuh, berapa lama kamu mahu bersedih?’ Nama sebenarnya lain. Nuh ini merupakan gelaran atau panggilan Allah kepadanya kerana dia sentiasa bersedih.

“Nabi Nuh menceritakan sebab kesedihannya kepada Allah, kemudian Allah memerintahkannya supaya berdakwah,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Nabi Nuh AS menurutnya, mengajak kaumnya supaya memeluk agama Islam, namun kaumnya enggan sehingga usia dakwahnya adalah selama 950 tahun.

“Disebut dalam hadis, tinggi dan besarnya adalah sebanyak 60 hasta. Orang pada zaman dahulu memang besar dan mereka tidak ramai. Mereka boleh berjalan jauh dengan mudah sebab langkahannya panjang.

“Tidak peliklah bangunan di sana tinggi-tinggi semuanya. Manusia semakin rendah sehingga ke hari ini. Gajah pada zaman dahulu atau Mammoth, besarnya sepuluh kali ganda daripada gajah hari ini.

“Dalam surah Nuh, disebut bahawa Nabi Nuh berdoa kepada Allah yang bermaksud, ‘Jangan Kamu tinggalkan satu pun rumah orang kafir di atas muka bumi ini.’

“Sebab Nabi Nuh sudah tidak tahu nak berbuat apa lagi. Kalau mereka masih hidup dan beranak-pinak, akan lahirlah keturunan kafir juga. Lebih baik mati belaka,” terangnya.

Beiau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, Allah SWT menyuruh Nabi Nuh AS agar menanam biji benih sehinggalah pokok itu membesar dan diminta supaya pokok itu ditebang dan batang-batangnya digunakan untuk mencipta kapal yang besar tiga tingkat.

“Banjir besar berlaku. Air memancut keluar melalui dapur tanah dan turun dari langit. Ia berlaku dengan lebih cepat dan dahsyat berbanding bah air merah di tempat kita.

“Banjir itu berlaku bukan sahaja di tempat tinggal Nabi Nuh, tetapi di seluruh dunia. Oleh sebab itu, peta dunia berubah. Kajian yang dibuat mendapati bahawa banyak daratan bertukar menjadi laut dan sebaliknya. Ia disebabkan oleh banjir besar atau disebut sebagai Taufan Nabi Nuh,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 18/6/2024

- Advertisement -