PH kalau yakin ada mandat besar, kenapa takut?

Jadikan PRK Sungai Bakap wakili hasrat 33 juta rakyat Malaysia

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya benar kuat dan yakin memiliki mandat yang besar sepatutnya tidak perlu merasa takut untuk mengumumkan satu-satu keputusan atau pelaksanaan ke atas rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, pemimpin PH juga tidak perlu menafikan atau mengugut pihak-pihak yang membuat laporan awal daripada maklumat diperolehi mereka mengenai tindakan akan dibuat kerajaan.

Peringatan beliau itu berikutan sikap pemimpin PH yang menyangkal dan mahu mengambil tindakan terhadap pendedahan media luar negara mengenai kenaikan harga diesel yang akhirnya telah terbukti kini.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, pemimpin jika beriman hanya takut kepada Allah SWT, tetapi ahli politik yang takut kepada rakyat adalah kalangan mereka berkepentingan undi kerana bimbang tewas dalam pilihan raya.

Oleh itu tegasnya, ahli politik sedemikian tidak harus dipilih kerana sebagaimana doa Rasulullah SAW supaya Allah menimpakan kesusahan kepada pemimpin yang menyusahkan rakyat, bermakna wujud ahli politik berkepentingan seperti itu.

Ustaz Idris turut menepis dakwaan pemimpin PH yang menyebut akan membawa pembangunan sekiranya mereka memenangi sesuatu kerusi, kerana peruntukan kewangan bukan milik ahli politik atau partinya.

Tegas beliau, wakil rakyat hanya pemudah cara dengan menjadi penghubung penduduk kepada agensi-agensi kerajaan, apatah lagi wang kerajaan sebenarnya dikutip daripada rakyat menerusi cukai dan sebagainya.

“Adakah jalan raya yang dibuat di Pulau Pinang ni duit kocek daripada DAP? Dak. Di Kelantan, di Terengganu, di Kedah, di Perlis, (segala) jalan, jambatan yang dibuat, bukan daripada wang PAS, bukan wang daripada parti BERSATU, bukan wang daripada PN.

“Itu ialah wang daripada rakyat. Yang dibawa, yang kita bayar cukai, maka itulah yang kita buat pembangunan. Maka sebab itu tak timbul soal kalau pilih daripada calon PN nanti tidak ada pembangunan,” tegasnya.

Beliau berkongsi keadaan Ahli-ahli Parlimen atau ADUN PN yang menjadi pembangkang dan dinafikan peruntukan, tetapi mampu memberi khidmat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Maka tak timbul soal kalau menang nanti pembangkang menyebabkan kita tidak adanya pembangunan. Tak, jangan bimbang, jangan runsing. Sebab maksud pilihan raya ini kita nak memilih wakil kita.

“Juga kena ingat pilihan raya kecil ini sebagai satu isyarat referendum yang mewakili rakyat Malaysia bahawasanya kami tidak mahu lagi dipermain-mainkan oleh kamu (pemimpin PH).

“Tak nak lagi kamu duduk janji dengan macam-macam tapi kamu tak boleh membuat sesuatu. Maka Sungai Bakap mewakili 33 juta rakyat Malaysia,” serunya. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -