PM ada kuasa umum turun harga minyak, tapi…

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai kuasa untuk memutuskan naik turun harga minyak sebagaimana penegasan dan janjinya sendiri yang diucapkan berkali-kali selama ini.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, rekod menunjukkan penegasan masyhur oleh pemimpin tersebut berjanji demikian semasa beliau di pihak pembangkang telah ada sejak tahun 2008 lagi.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan, kali terakhir Anwar mengungkap penegasan dan janji sama adalah empat bulan sebelum PRU15 pada November 2022, iaitu secara tepatnya pada Julai tahun tersebut dalam Konvensyen PKR.

Ulang ingat oleh beliau, ketika itu Anwar menjelaskan sebab harga minyak masih tidak dapat diturunkan walaupun Pakatan Harapan (PH) telah menjadi kerajaan adalah kerana beliau belum diangkat sebagai Perdana Menteri.

Tetapi terkini Anwar bidas Ahmad Fadhli, mengungkapkan nada amaran ketika bertemu dengan penjawat awam beberapa hari lalu supaya tidak menggunakan ucapan yang pernah ditegaskannya dahulu itu.

Ambo (saya) rasa Perdana Menteri kita ni ada masalah ingatan. Dia sebut bahawa dia nak turunkan harga minyak ketika kempen pilihan raya tahun 2008 pada masa itu. Tetapi dia jangan lupa bahawa janji yang sama diulang kembali menjelang pilihan raya umum 2022.

“Lebih tepat lagi bila? Dalam Konvensyen PKR pada Julai tahun 2022. Kita pilihan raya (PRU15) bulan 11 tahun 2022, empat bulan selepas dia berucap itu,” imbas beliau dalam Ceramah Isu Semasa Pasca Sidang DUN Kelantan di Pusat Tarbiyah Pohon Below, Pasir Mas, semalam.

Katanya, penegasan Presiden PKR itu bermaksud bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa menurunkan harga minyak, tetapi yang terkini terjadi adalah berlaku kenaikan harga diesel dan merupakan tertinggi dalam sejarah.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan kerajaan dipimpin Anwar akan bertindak mengumumkan kenaikan harga petrol lebih awal daripada jangkaan ramai sekiranya keputusan PRK N.20 DUN Sungai Bakap memihak kepada PH.

Ahmad Fadhli turut mengupas janji dan segala formula dinyatakan Rafizi Ramli selaku Naib Presiden PKR ketika dahulu mengenai pemberian subsidi serta penurunan harga minyak dapat dilakukan sekiranya PH menjadi kerajaan.

Menurutnya, Rafizi yang merupakan Menteri Ekonomi, ketika dahulu itu menghentam dan mempertikaikan kuat rancangan Kerajaan Barisan Nasional (BN)-Umno berkenaan pemansuhan subsidi dan kenaikan harga minyak.

Tetapi bidasnya, kini semua yang diungkapkan tersebut menampakkan pembohongan, lalu PH selepas PRU15 telah bersama BN membentuk kerajaan sedangkan dahulu mereka melabel dengan pelbagai kata-kata. – HARAKAHDAILY 15/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -