Maharani Energy Gateway: Jangan kampung ‘hilang’

- Advertisement -

MUAR: Kerajaan Negeri Johor diminta memberi jaminan agar pembangunan pesat terutama projek mega Maharani Energy Gateway, tidak akan menyebabkan kampung-kampung asal yang sedia ada di kawasan tersebut ‘hilang’.

- Advertisement -

ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib mengakui kemajuan sangat didambakan dalam memberi kemakmuran serta mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, namun kelangsungan penempatan tradisi rakyat harus diambil perhatian.

“Yang pertama sekali peluang pekerjaan, yang kedua kawasan sekitar tu ada nelayan, ada kebanyakkannya kampung-kampung Melayu lama. Berapa lama mereka boleh bertahan kalau kerajaan tak jaga?

“Saya beritahu, automatiklah kawasan tempat kita macam ni, bila sahaja ada pekan, lepas tu ada perubahan, pergi mana orang Melayu tu? Tak payah dihalau, orang Melayu tak payah dihalau, mereka akan hilang sendiri. Betul tak?” getusnya.

Tegas beliau, kebimbangan tersebut menuntut peranan kerajaan supaya dapat menjaga hak tradisi itu supaya tidak hilang tetapi dalam masa yang sama kemajuan juga dapat dicapai demi faedah rakyat.

“Macam mana perancangan jangka panjang? Saya bawa itu (dalam Persidangan DUN Johor). Bagaimana dengan penduduk sekitar ini? Bagaimana dengan nelayan-nelayan?

“Kerajaan kena buat rangka jangka panjang supaya rakyat ini tidak akan terkeluar. Kerajaan kena buat sesuatu. Kalau tak buat, habis. Orang Melayu tak payah dihalau, dia akan pergi sendiri,” katanya.

Beliau berkata kepada Harakahdaily dalam wawancara khas di Pusat Khidmatnya, di sini, semalam sebagai mengulas ucapan beliau semasa perbahasan Sidang DUN Johor yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam ucapannya pada sidang tersebut, Abdul Aziz menggesa kerajaan agar mewartakan perkampungan Melayu sekitar Muar yang terlibat dengan pembangunan mega tersebut.

Tegas beliau, ianya sebagai satu jaminan bahawa mereka tidak disingkirkan sama ada secara langsung atau tidak langsung disebabkan oleh pembangunan yang diadakan itu.

Berdasarkan laporan media, Maharani Energy Gateway bertujuan mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam yang melibatkan tiga pulau buatan manusia seluas 1,295 hektar, kira-kira satu perempat saiz Putrajaya.

Menurut laporan itu lagi, projek itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM99 bilion dalam tempoh 10 tahun selain ia juga dijangka menjana 26,769 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama.

Tambah Abdul Aziz, beliau bimbang dengan pembangunan tersebut yang boleh menjejaskan aktiviti nelayan walaupun pihak berkuasa memberi jaminan bahawa nelayan tidak akan terjejas.

“Memang dia kata tak habis, ‘kami tak sentuh nelayan’, cakap saja. Takkan kawasan mereka itu dia bagi siapa-siapa boleh masuk? Dah tentu dia akan jaga dan tak benarkan masuk. Cakap saja,” katanya.

Tambahnya, sekiranya tidak ada langkah-langkah konkrit dari kerajaan negeri, kemungkinan besar para nelayan di situ juga akan pupus dalam jangka masa panjang.

“Esok kita dah tak ada, anak cucu kita yang akan duduk. Boleh tinggalkah? Kalau tengok sejarah kita macam ini asyik nak menjual tanah sahaja, habislah. Kita dah bawa benda ni. Terpulanglah pada kerajaan apa benda dia nak buat.

“Adakah ia akan digazetkan ke ataupun setakat dibiarkan begitu sahaja? Jaminan dalam jangka masa panjang tu kena ada. Itu semualah kerajaan kena bertanggungjawab,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!