‘Kandang lembu’: Di mana transformasi minda?

- Advertisement -

SEKITAR suku abad lalu, infrastruktur pengangkutan awam negara masih begitu daif dan tidak dipedulikan. Kalau anda biasa bermusafir ke seluruh negara dengan perkhidmatan awam, lihat saja stesen teksi, bas henti-henti setempat, termasuk bas ekspres antara bandar, hampir sama saja di semua negeri. 

Mujurlah sangat kalau ada bumbung dibina untuk berteduh panas dan hujan. Itupun banyak yang berkongsi sama dengan kaunter atau kontena jualan tiket dan bilik penyelia jadual perjalanan atau para pemandu. Tak kurang yang ‘berbumbung langit’, di mana semua kenderaan itu disusun di parkir tanah terbuka atau tepi jalan. 

Ada juga penumpang yang berlindung panas hujan di payung besar gerai-gerai penjaja sekeliling stesen sementara menunggu panggilan corong pembesar suara memaklumkan persediaan perjalanan. Anda sempat lalui pengalaman ini?

Kerana ketika itu pengangkutan awam ini lebih untuk kegunaan marhaen. Operator pengendali perkhidmatan pula hanya pegang lesen atau permit untuk tempoh jangka pendek. Ia perniagaan yang tidak begitu terjamin. 

Hatta tempat digunakan sebagai stesen juga asyik nomad. Berpindah-randah kerana menyewa dengan pihak yang menyewa daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau tuan tanah. Untung atas angin. 

Kerajaan ketika itu belum meletakkan urusan pengangkutan awam ini di keutamaan tertinggi. Perundangan berkaitan juga belum banyak digubal. Tengok Lapangan Terbang Antarabangsa Subang tahun 1990 sudahlah, itulah mentaliti kita terhadap pengangkutan awam.

Kesan permintaan

Selari pertambahan rakyat, kemodenan dunia dan peningkatan hasil, maka perubahan orientasi turut berlaku. Penggunaan pengangkutan awam turut melahirkan lebih ramai pemain atau pemegang taruh sektor ini. Persatuan juga semakin banyak ditubuhkan yang mempunyai tuntutan atau kepentingan tertentu. 

Kerajaan mula memperkenalkan pelbagai perundangan dan mewujudkan agensi-agensi berkaitan dalam memenuhi tanggungjawab kepentingan awam. Walaupun tak kurang juga ‘di sebalik’ itu, kroni turut ligat sama menyambar projek pengangkutan awam.

Kepentingan atau keperluan pengangkutan awam semakin mendapat permintaan. Namun, tak kurang juga tragedi-tragedi membabitkan pengangkutan awam. Pakar bidang pengangkutan awam juga semakin ramai. Akhirnya banyak perancangan berkait pengangkutan awam dan infrastrukturnya diadakan.

Transformasi sistem

Selepas berjaya meletakkan mata dunia ke negara ini menerusi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor, rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam dalam negara terus melangkah laju dan maju.

Idea transformasi hadir dengan lebih berani dan strategik mewujudkan konsep keterangkuman dan kemampanan. Sistem perkhidmatan pengangkutan awam menjadi semakin dipercayai, kondusif, efektif dan bernilai dalam banyak aspek. 

Perkhidmatan bukan sahaja mempunyai banyak pilihan, bahkan operasi juga semakin lancar dan cekap. Menariknya, ia diintegrasikan dengan keperluan kehidupan harian dan urusan perkhidmatan lainnya menjadi ‘One Stop Center’ (OSC). 

Senang cerita, dulu anda ke stesen hanya untuk tunggu beberapa minit. Jadi wajarlah stesen dulu serba serbi tak ada apa. Tapi hasil transformasi, ‘penantian bukan lagi satu penyiksaan’. Anda boleh tunggu bas atau flight berjam-jam sambil ‘shopping’ dalam kompleks pengangkutan awam.

Nak tidur, makan minum segala aneka, tengok wayang, bersukan dan macam-macam lagi pun tersedia. Malah, mungkin sempat naik pengangkutan awam lain untuk ronda-ronda cuci mata di kawasan berhampiran.

Mungkin juga tersedia bank, klinik, kurier serta kaunter perkhidmatan agensi kerajaan seperti JPJ, JPN, JIM dan seumpamanya. Maknanya anda mendapat transit bersepadu di situ. 

Semua itu menjadi pembinaan mega negara melibatkan pengangkutan awam baharu seperti Komuter, ETS, LRT, MRT, ECRL dan HSR (belum terlaksana). Juga infrastruktur seperti TBS@BTS di mana anda boleh dapat pilihan bas, teksi, train yang saling berhubungan termasuk akses cepat ke terminal lain misalnya KLIA. 

Realitinya, semua masih banyak tertumpu atau berpusat di Lembah Klang. Pun begitu masih ada tidak dapat direalisasikan menurut perancangan asal termasuk terbengkalai seperti Plaza Rakyat di Pudu Raya. Hentian bas dan teksi di Jalan Duta itupun sekadarnya sahaja. 

Peluasan ke semua wilayah

Transformasi itu diakui menjadi antara usaha gigih Kerajaan Persekutuan terutama di era Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Beliau dilihat berusaha membawa pembangunan seumpama ke wilayah-wilayah Selatan, Utara, Pantai Timur dan Borneo yang telah dimulakan di era Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Najib dilihat proaktif merancakkan pertumbuhan negara menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan turut mengambil kira pendekatan sebelumnya, termasuklah Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Idea beliau dikembangkan lagi melalui gagasan jangka panjang dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Malangnya, usaha pembangunan ke wilayah-wilayah perlahan atas pelbagai faktor ditambah isu-isu integriti dan salah guna kuasa melingkari beliau dan kerajaannya pada waktu itu. Lalu pada PRU14, rakyat membuat keputusan besar menukar tampuk kepimpinan di Putrajaya. 

Pertukaran kerajaan menyebabkan usaha memacu pertumbuhan ekonomi juga berubah, terbantut atau terhenti, bahkan ada yang dibatalkan. Hiruk-pikuk politik era pemerintahan PH, disusuli lagi pertukaran kerajaan dan pandemik, banyak projek juga menjadi tertunda. 

Pembangunan kompleks pengangkutan awam bersepadu melibatkan bas ekspres, bas tempatan, teksi dan train ECRL juga berubah beberapa kali. Terpaksalah Stesen Bas Sementara KB di Lembah Sireh terus kekal menumpang di situ. 

Transformasi minda?

Benar keadaannya seperti itu, tetapi tidak selayaknya untuk sesiapa memperlekeh atau menghina dengan ejekan ‘kandang lembu’. Berlaku adil dengan membuat perbandingan matang melihat perkara sama berlaku di negeri-negeri lain. 

Misalnya Pulau Pinang sendiri sebelum beroperasi Penang Sentral tahun 2018 berkonsep keterangkuman transit bersepadu itu, terminal bas ekspres beroperasi di bawah jambatan sejak tahun 2000.

Namun, bukan semua negeri perlu membangunkan kompleks sedemikian kerana misalnya dalam realiti Kelantan, penawaran bas ke semua destinasi hanya ada dua sesi iaitu siang dan malam.

Ya, anda mungkin membentangkan ramainya pengguna dalam setahun. Tetapi bahagikan dengan harian. Dengan jumlah yang dapat, agak-agak berapa ringgit perolehan para peniaga di kompleks itu boleh dapat?

Jadi, jangan politikkan semua perkara atau semudah-mudahnya untuk menyempitkan kematangan diri sendiri atau menganggap pihak lain terlalu naif. Kerana ketika transformasi dalam banyak aspek sedang berlaku, transformasi minda anda pula jauh ketinggalan. 

Ketika jari jemari anda galak menghamburkan pelbagai kejian di media sosial, pimpinan kerajaan negeri tetap komited berfikir dan bekerja ke arah pembangunan ekonomi domestik yang mampan.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -