DAP angkuh tajamkan ketegangan politik

- Advertisement -

BIADAB, celupar, melampau dan ekstrem telah menjadi pendekatan dibawa DAP dalam politik negara. Tanpa selindung dan angkuh, politikus DAP sentiasa menjadikan politik negara berada dalam suhu yang panas dan tegang. Politik fitnah, adu-domba, kecaman dan merosakkan karakter individu sudah tidak segan silu lagi menjadi mainan DAP.

Bahkan rakyat Malaysia tidak akan lupa sepanjang hampir 22 bulan DAP menjadi ‘Abang Besar’ dalam Pakatan Harapan, parti itu mencengkam kuku kuasanya. Hinggakan berani menggugat dan mengancam asas-asas Perlembagaan Negara yang didirikan dengan tiang agama Islam, Melayu dan Bumiputera, Raja-raja Melayu serta Bahasa Melayu.

Watak dan wajah itu nampaknya tidak berubah setelah gagalnya DAP menyekat gelombang kesedaran dan kebangkitan yang menolak jatuh mereka dari puncak kuasa di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri. Ketika ini DAP masih menajamkan pisau politik secara salah dan tidak wajar. Muat naik di laman sosial Facebook DAP Perak sedang mencetuskan api baru pertembungan.

- Advertisement -

Lakaran kartunis yang dibuat nyata bermirip Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Mesejnya disertakan status yang melabelkan dengan gelaran ‘pelacur politik’ jelas satu penghinaan keterlaluan. Bahkan ia adalah tuduhan fitnah apabila mengaitkan dengan fulus yang tentunya bermaksud berunsur rasuah.

Begitu juga mengulang terma ‘pintu belakang’ adalah propaganda jahat dan keengganan DAP menerima hakikat proses demokrasi dan keabsahan perundangan serta penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong. Ia juga boleh dianggap pemberontakan menerusi media, selain sinikal ejaan ‘Takebeer’ layak dianggap sebagai menghina syiar Islam.

Sehubungan itu, laporan polis telah digerakkan di seluruh 24 kawasan parlimen dalam negeri Perak supaya siasatan dan tindakan undang-undang diambil kepada pihak DAP Perak. Kami juga menggesa DAP Perak mengemukakan permohonan secara maaf terbuka dari mengundang kemarahan awam dan kemungkinan tindak balas yang tidak dapat dibendung sekat dari berlaku akibat dari kebiadaban DAP.

“Islam Memimpin Perpaduan”

HAFEZ SABRI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 1/6/2020

- Advertisement -