15 JUN 2022 – Rabu
Subuh tadi group Whatsapp ‘Malaysia Malawi Qurbaan 2’ dipenuhi gambar-gambar aktiviti korban di Malawi yang diuruskan oleh tim Siti Syafina dan International Muslim Women Union yang diketuai olehnya pada tahun-tahun sebelumnya.
Selain itu gambar keadaan sekolah serta rumah kecil milik penduduk muslim Malawi turut dikirimnya di dalam grup. Lewat senja semalam memang sengaja aku minta foto yang menggambarkan keadaan kedhaifan sebenar mereka di sana.
Ya. Mereka memang miskin. Malawi kekal sebagai salah satu negara termiskin di dunia walaupun melakukan pembaharuan ekonomi dan struktur yang ketara untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Kewangan mereka sangat bergantung kepada pertanian, yang meliputi hampir 80% penduduk, dan ia terdedah kepada masalah luaran, terutamanya kejutan iklim.
Malawi yang juga negara Afrika Timur berkongsi sempadan dengan Mozambique. Satu yang mengejutkan adalah 70.3% penduduknya hidup dengan kurang daripada $1.90 sehari. Negara-negara miskin biasanya sangat bergantung kepada pertanian dan pertanian sara diri, dan di Malawi, pertanian ini menyumbang 71.9% daripada jumlah pekerjaan.
3 JULAI 2022 – Ahad
Jam 5:34 pagi, umpama guruh berdentum di langit, terasa hilang seketika jantung di dada menerima perkhabaran mengejutkan.
“Assalamualaikum wbt. Innalillaahiiwainnaailaihiraajiuun.
Dukacita dimaklumkan bhw sahabat kita Us. Shahrudin b Abu Bakar telah kembali kerahmatullah jam 12 tengah mlm tadi. Semoga rohnya ditempatkan bersama org2 yang soleh.. Al fatihah..”
Begitu pesanan ringkas dalam group Whatsapp ‘Amal Mahabbah’ yang dikirim Cikgu Bokeri Perlis pada jam 1:14 pagi tengah malam tadi. Aku yang baru bangkit pagi ini, merasa amat terkejut dan sedih.
Arwah Ustaz Shahrudin menjadi anggota misi kami ke Kashmir (Korban 2018), Lombok (Misi Gempa Bumi) dan juga Mindanao (Korban 2019). Orangnya tenang dan tidak banyak bercakap, sering tersenyum dan berwajah manis.
Rabu ini, 3 hari dari masa sekarang, kami dijangka bertolak ke Malawi. Dari Kelantan Pok Mid akan bersama Kakti dan aku sendiri. Dari Kuala Lumpur Haji Hassan mantan Ahli Parlimen Besut dan dari lapangan terbang Pulau Pinang adalah Haji Bokeri dan Ustaz Shahrudin. Kami semua dijadualkan bertemu dan berkumpul di lapangan terbang Suvarnabumi, Bangkok.
Ah, sungguh misteri aturan Allah SWT. Apakah Haji Bokeri masih akan meneruskan misi Korban Malawi ini setelah rakan baiknya meninggal dunia? Adakah beliau akan tetap berseorangan dari lapangan terbang Pulau Pinang?
“Salam Takziah pd Keluarga Ust. En. Kimi Ust sakit ke?” tanya Kakti pada Hakimi Perlis.
“Tak dak…apa2 tanda Kak Tie…pagi pi kebun…balik kebun kami pi kenduri…” jawabnya.
“Masyaallah,” Kakti membalas.
“Kenangan… Mai antaq buah ni dkt umh sy ptg kelmarin,” sambung Suhairi pula dengan menampal gambar 5 biji buah setul yang telah masak.
Rupanya petang semalam, arwah sihat macam biasa. Dan memang 3 minggu ni aktiviti dia dan Cikgu Bokeri berulang alik ke kebun. Setiap beberapa hari akan ada sahaja gambar mereka berdua bersama buah rambutan, durian dan lain lain. Makan bersila atas rerumput kebun. Santai gaya orang pencen!
Kakti sambung lagi, “Kami ingat fly dgn ust nanti boleh mkn ketupat di airport nanti.. ingat masa di airport Delhi masa nak g Kashmir”.
Frekuensi hati antara mereka rupanya kuat, dengan detik hati Kakti yang katanya mahu makan ketupat di airport nanti, Hakimi menyebut, “Saya dgn Ust pi ambik daun palas kelmarin…di rumah Suhairi…nak buat ketupat bwk pi Malawi”.
Allahu. Begitu singkat perjalanan hidup manusia. Dengan banyaknya plan dan kemahuan itu dan ini, dalam keadaan sihat walafiat, boleh sahaja malaikat maut menjemput kita pulang ke sisiNya.
Suhairi menambah rasa pilu dengan mengirim gambar dia, Hairi dan Arwah Ustaz bersimpuh makan ketupat di lapangan terbang
“Dari Allah kita datang, kerana Allah kita hidup sementara dan kepada Allah kita kembali. Salam takziah kepada keluarga dan sahabat sahabat Allahyarham. Semuga ianya ridza dan diridzai Alĺah InsyaAllah”, tulis Pak Daeng pula.
“Reply” Pak Daeng kepada cerita Hakimi dan Ustaz yang mencari daun palas semalam, “Segalanya dalam kuasa dan ketentuan Allah”.
Ya memang benar pun. Kita rancanglah apa jua benda, tapi akhirnya yang memberi izin adalah Dia.
“Ingat lagi kata2 Ust.. kalu org lain x nak hadir rumah ust. Ti wajib mari rumah Ust. Kalu x pergi mesti terkilan. Alhamdulillah pi tengok anak dia”, sambung Kakti lagi di dalam grup Whatsapp sambil berkongsi gambar dia dan arwah sedang makan bersama di Kg. Sena.
Solat jenazah Almarhum Ustaz Hj Shahruddin dijadual selepas zohor di surau Santan Kota. Hati meronta ronta ingin bersama. Sempatkah aku ke Perlis pagi ini?
Kematian itu amat dekat dengan kita semua. Minggu ini sahaja anggota misi kami teruji dengannya. Isnin lepas (27 Mei 2022) bonda kepada Kakti meninggal dunia. Beberapa hari sebelumnya mertua Cikgu Bokeri menghembuskan nafas terakhir dan malam tadi Ustaz Shahrudin.
Barangkali permusafiran kami semua pada tahun ini memang bertemankan duka. Nestapa.
“Ust Din antara teman musafir yang setia bersama Tim misi bantuan kemanusiaan. Inilah misi yang terakhir. Semoga Allah SWT permudahkan perjalanan hambaNya ini ke Jannah bersama para solihin dan syuhada”, tulis Pok Mid dalam beberapa grup Whatsapp.
6 JULAI 2002 – Rabu
Kalut!
Itu perkataan paling tepat untuk gambarkan suasana pagi ini. Sejak pagi ‘call’ Pok Mid banyak kali, tapi tak berjawab. Banyak benda mahu di ‘clarify’ dengannya tapi talian tidak bersambung.
Fikirku, mungkin malam tadi Pok Mid tidak tidur, jadi pagi ini dia mengambil waktu seketika untuk melelapkan mata. Lalu ku hubungi Hafiz staf Amal Kelantan, katanya keadaan di pejabat Amal masih kelam kabut, siapkan kerja kerja akhir sebelum bergerak ke Jeti Tak Bai. Aku bertanya ke mana Pok Mid, tidurkah dia? Jawab Hafiz, “Eh Pok Mid ada, duk tengah kalut lagi, semua orang call dia tak nak jawab”.
Kesian pada Pok Mid. Sibuk yang teramat sebelum berangkat pagi ini.
Aku sendiri, dua minggu terakhir ini memang amat padat jadual kerja dan program parti. Sibuk memanjang. Terfikir juga untuk mengambil cuti pada Isnin atau Selasa bagi berehat sekejap sebelum bermusafir jauh serta menyiapkan segala perkakas dan keperluan untuk dibawa ke Malawi.
Ditambah pula dengan demam, selsema, cirit birit, gastrik dan hidung tersumbat sejak Sabtu, menyebabkan plan untuk cuti rehat sebelum berangkat pergi, adalah cukup rasional dan betul.
Namun, melihat kepada jadual mesyuarat itu dan ini, perbincangan begitu dan begini, tugasan kerja pejabat perlukan lebih fokus. Cuti bukanlah satu opsyen buatku.
Semalam, 5 Julai, ada 5-6 mesyuarat, pertemuan dan perbincangan. Walaupun demam dan selesema, tetap juga hadir ke pejabat.
Justeru kesibukan minggu ini diheret sehingga ke jam jam terakhir sebelum berangkat dari Kuala Krai. Sempat ku meminta pertolongan Ma, ibu tiriku yang ku anggap seperti mak kandung sendiri, untuk membantu beri makanan kepada kucing dan ikan dalam akuarium. Sahabat baikku Naziey pula, ku pesan beberapa perkara untuk dia bantu pantau sepanjang ketiadaan ku nanti. Alhamdulillah semuanya teratur.
Kami tiba di Pengkalan Kubor sekitar jam 10:30 pagi dan berkumpul di “stesen” biasa kami iaitu kedai kepala ikan merah. Sarapan bersama anak Pok Mid, si Ashraf, staf pejabat Amal, Suhaizi dan Zatiey manakala Kakti pula bertemankan kakaknya Kak Yah dan adik lelakinya. Aku sendiri ditemani Karim, Amir, Zam dan Roza. Alhamdulillah kami dikurniakan sahabat sahabat baik yang ringan tulang dan ‘mudah bbaso’.
Pada jam 12 tengahari, kami mulai naik Feri menuju ke Tak Bai. “Road to Africa begin”.
bersambung Bahagian 3
NAZMAN CHE IBERAHIM
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan – HARAKAHDAILY 27/5/2024

