Nurul Amin jelajah kenal pasti masalah penduduk

- Advertisement -

PADANG TERAP: ‘Jelajah Berjumpa Rakyat’ telah dijadikan medan untuk bertemu penduduk kampung secara terus bagi mendengar permasalahan di peringkat bawahan oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid

- Advertisement -

Menurutnya, menerusi rutin berkonsepkan sarapan pagi bersama penduduk setempat di kedai makan atau warung-warung yang dikenal pasti, beliau mengambil maklum dan berkongsi pelbagai masalah dan lontaran diluahkan penduduk.

“Melalui ‘Jelajah Berjumpa Rakyat’ saya dapat bertemu penduduk kampung secara terus untuk mendengar permasalah mereka. Saya mulakan jelajah ini secara berjadual khususnya lepas Aidifitri lalu.

“InsyaAllah akan diteruskan hingga menjelang sidang dewan rakyat 24 Jun depan dan konsep yang sama buat dengan bersarapan pagi di warung-warung kemudian ziarah pula ke rumah-rumah golongan sasaran,” kongsi beliau dengan Harakahdaily, hari ini.

Antara yang turut bersama dengannya setiap kali turun padang, termasuklah Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) di kampung yang terlibat, selain Jawatankuasa Pusat Khidmat Parlimen beliau sendiri.

Mengulas lanjut kata Nurul Amin, antara perkara yang banyak ditimbulkan oleh penduduk kampung adalah berkenaan masalah padi benih, hasil padi berkurangan kerana penyakit dan lain-lain.

“Kebanyakan masalah yang mereka timbulkan adalah berkaitan pelaksanaan agensi Kerajaan Persekutuan. Jadi saya akan bawa masalah ini dan sebut dalam perbahasan saya di Parlimen nanti,” tambah beliau.

Dalam pada itu, pada sebelah petangnya, beliau akan bertemu anak-anak muda sama ada di padang bola ataupun gelanggang takraw di mana antara yang menjadi topik hangat golongan itu adalah berkaitan ekonomi, peluang pekerjaan dan perumahan.

Bercakap berkenaan ‘duit raya’ yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan kepada  peneroka FELDA ujarnya, hal itu antara turut diadukan kepada pihaknya.

“Mereka mengadu belum dapat. InsyaAllah kita akan bawa perkara tu ke Parlimen agar bayaran itu ditunaikan segera,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

- Advertisement -