PAS ucap takziah pemergian Senator Mutang Tagal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan rasa sedih dan dukacita atas kematian Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal (foto atas) di Institut Jantung Negara (IJN), awal hari ini.

- Advertisement -

Beliau dilaporkan menerima rawatan di institut berkenaan pada Isnin (6 Mei) sebaik kembali daripada lawatan kerja rasmi ke Azerbaijan.

“PAS juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setulus takziah kepada keluarga mendiang dengan harapan mereka akan menemui kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi detik-detik sukar susulan pemergian insan tersayang,” ujar Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan.

Mendiang mengangkat sumpah sebagai Yang Di-Pertua Dewan Negara ke-20 pada 19 Februari lepas dan merupakan Orang Ulu pertama yang dilantik ke jawatan itu, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak dari tahun 1982 hingga 1990.

Menurut Takiyuddin, dengan rekod perkhidmatannya yang panjang dalam bidang politik, selain latar belakang kerjaya dalam bidang pendidikan dan juga undang-undang (Lulusan Undang-Undang, Universiti Malaya), PAS percaya pemergian beliau akan dirasai oleh banyak pihak dan merupakan kehilangan kepada negara, khususnya rakyat Sarawak, terutama masyarakat yang diwakilinya. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -