Bersatu lucut dua wakil rakyat serta-merta

Hamzah Zainudin
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Bersatu mengumumkan pelucutan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari berkuat kuasa serta-merta, susulan kedua-duanya telah menghadiri kempen Pakatan Harapan (PH) di Kuala Kubu Baharu (KKB), malam tadi.

Setiausaha Agungnya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, mendakwa kedua-dua wakil rakyat itu mesti mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kawasan yang dimenangi mereka.

- Advertisement -

“Mereka bercakap di pentas PH semasa kempen di KKB. Mengikut perlembagaan kita (Bersatu), keahlian mereka dilucutkan secara automatik.

“Mereka tidak lagi menjadi ahli parti, jadi mengikut undang-undang (anti lompat parti), mereka juga mesti melepaskan kerusi mereka,” katanya kepada pemberita selepas ceramah umum PERIKATAN NASIONAL (PN) di Bandar Utama Batang Kali, malam Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, surat pelucutan keahlian kedua-dua wakil rakyat tersebut akan dikeluarkan selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu pada minggu depan.

Zulkafperi merupakan antara enam Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini berikrar menyokong Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, demi kesejahteraan pengundi mereka.

Sementara, Abdul Rashid pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Lima lagi yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar ialah Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Dato’ Indera Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -