Azizulhasni jadi tetamu istimewa MB Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjungan jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang di sini, malam tadi.

- Advertisement -

“Menerima tetamu istimewa malam ini, Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang atau mesra disapa sebagai Jijoe.

“Semestinya kita semua amat berbangga dengan pencapaian The Pocket Rocket Man dalam sukan berbasikal yang sentiasa menginspirasikan kita semua,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Katanya, Jijoe akan mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang merupakan penampilan beliau buat kali yang kelima.

Menurut Dr Samsuri, sekejap sahaja masa berlalu tetapi buat Azizulhasni, sepanjang proses menuju setiap pencapaian bukanlah mudah.

“Apa yang telah dilalui sejak Olimpik Beijing 2008 dan pelbagai temasya sukan lain sentiasa mendebarkan kita.

“Justeru, marilah sama-sama kita mendoakan agar urusan Jijoe dipermudahkan, diberikan kejayaan dan kesihatan yang baik hingga selesai temasya insya-Allah.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Ustaz Hishamuddin Abdul Karim yang turut bersama.

Sementara itu, Azizulhasni mengucapkan terima kasih di atas jemputan Menteri Besar itu.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Terengganu YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri yang telah menjemput saya ke kediaman beliau semalam untuk meluangkan sedikit masa Bersama,” katanya pada laman sosialnya, pagi ini.

Menurutnya, Dr Samsuri juga bertanyakan tentang persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Dr Sam bertanyakan tentang persiapan saya ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan menjelang tidak lama lagi dan beliau juga menyatakan sokongan penuh kepada perjuangan saya untuk penampilan terakhir ini.

“Terima kasih Dr Sam kerana sentiasa mendukung perjuangan saya,” ujar anak kelahiran Dungun itu.

Selain Azizulhasni, dua lagi pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri juga layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung mulai 23 Julai hingga 11 Ogos nanti. – HARAKAHDAILY 28/4/2024

- Advertisement -