MACHANG: Orang ramai dinasihatkan menggunakan air secara berhemah bagi mengurangkan risiko putus bekalan air ekoran musim kemarau berpanjangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim juga turut mencadangkan supaya mengadakan solat hajat berterusan walaupun bersendirian atau sesama keluarga bagi memohon diturunkan hujan.
Beliau berkata demikian susulan MetMalaysia menyatakan tujuh daerah di Kelantan termasuk Pasir Mas dijangka menerima suhu panas maksimum harian sehingga mencecah 40°C selama tiga hari berturut-turut sehingga hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya memberitahu, setakat pukul 4.30 petang Khamis lepas, enam lagi daerah iaitu Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kota Bharu pula menerima suhu maksimum harian mencecah 37°C pada amaran tahap berjaga-jaga.
Sehubungan itu, Rohani menyeru rakyat Kelantan supaya tidak terdedah kepada cuaca panas terik secara terus untuk tempoh yang panjang.
“Di samping kita berdoa, solat hajat atau solat sunat istisqa’ beramai-ramai, pada masa yang sama jangan terdedah di tempat yang panas dalam tempoh yang agak lama,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Program Big Hero, di sini. (Foto atas)
Menurutnya, orang ramai khususnya warga emas berusia 65 tahun ke atas, penghidap penyakit kronik antara yang berisiko tinggi apabila terdedah kepada cuaca panas terik.
“Selain itu kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah juga antara golongan yang berisiko tinggi apabila terdedah kepada cuaca panas terik,” ujarnya.
Beliau mengingatkan semua lapisan peringkat umur supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa memantau aktiviti ahli keluarga bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini di samping meminum air putih yang banyak untuk mengimbangi suhu badan.
ADUN Tanjung Mas itu juga turut bersimpati di mana seramai 30 orang di Thailand telah meninggal dunia akibat strok haba apabila suhu di beberapa wilayah negara itu meningkat sehingga 52°C. – HARAKAHDAILY 27/4/2024