Projek solar terapung rangsang pembangunan Tok Uban

- Advertisement -

PASIR MAS: Projek Solar Terapung di Tasik Danau Tok Uban dekat sini apabila siap sepenuhnya akan mempercepatkan lagi pembangunan di kawasan sekitar.

- Advertisement -

Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, projek tersebut berjalan lancar sebagaimana dirancang sebelum ini.

“Saya bersama Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd dan Invest Kelantan mengadakan lawatan ke tapak projek bagi meninjau secara dekat perkembangan projek terbabit.

“Projek itu dilancarkan kira-kira dua tahun lalu. Alhamdulillah melalui lawatan fizikal projek tersebut berjalan lancar,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sempena lawatan itu semalam Md Anizam mengikuti taklimat projek yang disampaikan Pengarah Projek Cypark Renewal Energy Sdn Bhd Dato’ Ahamad Kamel Ismail.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri akhir tahun lepas Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat memberitahu projek tersebut di peringkat akhir dan fasa ujian dan pentauliahan.

Menurutnya kerja-kerja pemasangan pulau solar 100 peratus siap termasuk pemasangan 247,680 pelampung dan 247,680 panel solar.

Selain itu melabuhkan 6,180 batu sauh dan 20 kabin inverter yang ditambat pada kedudukan masing-masing.

Kabel 33 kilo volt sepanjang 10 kilometer dari Kampung Chandan ke fasiliti elektrik di Bendang Nyior juga siap 100 peratus.

Projek solar terapung di Danau Tok Uban tersebut merupakan terbesar di Asia Tenggara. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -