PAS rakam takziah pemergian Syeikh Abdul Majid Aziz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah di atas kembalinya ke rahmatullah Syeikh Abdul Majid Aziz al-Zandani.

- Advertisement -

“Pada hari ini menerima berita sedih pemergian guru kami yang dikasihi, Syeikh Abdul Majid Aziz al-Zandani yang meninggal dunia di Istanbul, Turkiye,” ujar Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menerusi laman sosialnya, malam tadi.

Menurutnya, almarhum antara tokoh semasa terkemuka gerakan Islam sebaris Syeikh Yusuf al-Qardhawi, Syeikh Fathi Yakan, Prof. Nejmuddin Erbakan dan lain-lain lagi.

Katanya, tokoh yang berasal dari Yaman itu terkenal dengan kepakarannya dalam bidang al-I’jaaz al-‘Ilmi iaitu ilmu tentang mukjizat al-Quran yang mendahului penemuan sains moden.

Tambah beliau, almarhum bertanggungjawab mengasaskan Universiti Al-Iman yang berpusat di Sanaa sejurus selepas penyatuan Yaman Utara dan Selatan pada tahun 1994.

“Beliau juga antara tokoh mujahidin Arab yang membantu umat Islam Afghanistan membebaskan bumi Afghanistan dari penjajah komunis.

“Setelah berlakunya konflik di Yaman pada tahun 2013 beliau berhijrah ke Arab Saudi dan seterusnya ke Turkiye.

“Semoga Allah merahmati guru kami dan menempatkannya dalam kalangan anbia’, syuhada’ dan solihiin,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Terengganu..

Muhammad Khalil pernah belajar di Universiti al-Iman pada 1997 hingga 2001. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -