Terengganu optimis guna pelbagai cara dapat baki royalti

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri optimis mendapatkan kembali baki pembayaran royalti petroleum ke negeri ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain daripada perbincangan, usaha lain juga akan diteruskan oleh kerajaan negeri.

“Kita optimis, kita cuba dulu menggunakan apa jua ruang yang ada dan daripada situ kita akan tengok bagaimana respon daripada Kerajaan Pusat dan insya-Allah kita akan tangani secara bersama oleh seluruh anggota pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 peringkat negeri yang dijadualkan pada 9 Mei ini akan digunakan untuk berbincang isu berkenaan.

“Kesempatan itu insya-Allah pihak kami akan berbincang perkara itu,” katanya.

Untuk rekod, sehingga Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan wang royalti yang menjadi hak rakyat Terengganu berjumlah RM1.5 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan negeri hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah diterima berbanding sejak 2018 hingga 2022.

Pada 8 April lalu, kerajaan menyalurkan wang ehsan RM172.3 juta kepada Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan.

Ia bertujuan membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri selain bayaran RM103.1 juta untuk komitmen Kerajaan Negeri Terengganu kepada kontraktornya. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -