MASJID TANAH: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Harun Ar-Rasyid mengadakan program motivasi sebagai persediaan untuk kumpulan pertama yang bakal menduduki perperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) tahun ini.
Guru besarnya, Mohd Taufik Jamil berkata, program tersebut yang dikendalikan oleh motivator terkenal Ustaz Mohd Fadly Samin dari syarikat perunding Jazim Motivation Group (JMG) bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan keyakinan murid-murid dalam berhadapan dengan perperiksaan besar itu.
Tambahnya, program tersebut adalah program pertama daripada siri-siri program yang diatur bagi mempersiapkan murid-murid Tahun 5 untuk menghadapi perperiksaan tersebut.

“Ini program yang pertama dan besok ni kita ada kelas tambahan khas untuk UPKK. Kita dah jadualkan sepanjang tahun ni di samping kelas-kelas mendatanglah ataupun program khas untuk Tahun 5 nanti insya-Allah
“Sebelum ni pun kita dah panggil ibu bapa murid-murid. Anak-anak kita ni mereka sudah berikrar di depan ibu bapa mereka, berjanji untuk belajar dan mengekalkan sahsiah yang baiklah,” ujarnya.
Tambahnya, dengan program tersebut beliau dan para mualim di sekolah tersebut berharap agar murid-murid akan terus istiqamah dalam erti kata memahami bahawa mereka harus bertindak atas dorongan sendiri.
“Maksudnya apa dia buat tu daripada diri sendiri. Dia tahu dia buat tu kerana Allah bukan kerana paksaan daripada guru-guru ataupun sentiasa perlu diingatkan. Jadi yang kita harapkan (daripada perlaksanaan program ini) begitulah.
“Kita juga berharap dengan menyertai program ini akan dapat meningkatkan penguasaan akademik mereka,” ujarnya kepada Harakahdaily usai program tersebut yang berlangsung di Dewan Haji Kassim, Markas PAS kawasan di sini, semalam.
Jelasnya, program tersebut disertai oleh seramai 54 orang murid yang terdiri daripada Tahun 3, 4 dan 5 di mana 11 daripada mereka adalah murid Tahun 5 yang bakal menduduki perperiksaan pada tahun ini.
Tambah beliau, murid-murid Tahun 3 dan 4 turut dilibatkan dalam program itu sebagai pendedahan awal kepada mereka untuk berhadapan dengan perperiksaan tersebut pada tahun-tahun mendatang.
“Tahun ni pelajar kita 11 orang akan ambil UPKK. Kita menyasarkan sekurang-kurangnya lebih separuhlah yang akan dapat dapat 8A semua subjek, iaitu sekurang-kurangnya enam daripada 11. Kalau lebih lagi baiklah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!