Beras dibuang di Kuala Krau: Bekas MP ambil tanggungjawab

Ismail Mohamed Said.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Foto tular hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warga media sosial mengenai pembuangan kampit beras dan barangan dapur dalam jumlah yang banyak di satu lokasi akhirnya terjawab.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said bersedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pelupusan barangan yang berlaku di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum, Temerloh Pahang.

- Advertisement -

“Beras dan barangan dapur ini merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika saya menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

“Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 pada tahun 2022 dan umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pembelian barangan dapur ini tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang dan tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh COVID 19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.

“Pada tarikh 5 April 2024, saya telah menerima aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut.

“Hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk atau kutu beras.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar.

“Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, dan sebahagian lagi telah dilupuskan.

“Saya mengambil tanggungjawab dan sangat mengesali perkara ini, dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,” jelas beliau.

Perkara tular tersebut telah menimbulkan pertanyaan awam antaranya mempersoalkan tindakan tidak melakukan agihan awal barang-barang tersebut menerusi pelbagai pihak.

Selain itu, pertikaian barangan tersebut dihapuskan dalam tempoh tidak sampai 24 jam dengan kenderaan berat sedangkan dilihat terdapat barangan yang masih boleh digunakan. – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -