Imej Islam di produk ‘trend’ baharu hina Islam?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kalimah Allah dan imej Ka’abah pada produk pemasaran tidak sewajarnya seperti stoking dan alas kaki, dilihat seolah-olah menjadi ‘trend’ baharu penghinaan ke atas Islam.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, kejadian yang semakin dilihat kerap berlaku itu seperti ada pihak yang sengaja mencabar sensitiviti umat Islam.

“Hampir pasti pelaku-pelaku ini sedar bahawa isu ini sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Mungkin mereka jadikan ini sebagai ‘pilot test’ untuk tengok sejauh mana umat Islam di Malaysia ini akan bangkit menentang, ataupun buat tak tahu sahaja,” ujarnya.

Ahli Parlimen Alor Setar ini memberitahu, Ahli-ahli Parlimen Muslim dari Perikatan Nasional (PN) majoritinya sudah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap insiden yang berlaku itu termasuk dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

“Namun tidak berapa kedengaran suara daripada pemimpin DAP. Bahkan YB Nga Kor Ming pula ada pandangan yang sangat kontra dengan pemimpin Umno, walhal mereka dalam satu kerajaan yang sama. 

“Nampak macam sangat tidak sehaluan dalam isu ini. Retak menanti belah agaknya?” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PN ketika diminta mengulas isu semakin menjadi-jadi tersebut.

Beliau turut mengakui wujud segelintir orang Islam sendiri yang memandang enteng isu tersebut, malah bersikap sinikal dengan mempermainkan dan mempersenda isu ini antaranya seorang kartunis bernama Zunar. 

“Ada satu lukisan yang memperlihatkan dia anggap isu mempersenda kalimah Allah ini macam kartun sahaja. Saya ada sebut dalam hantaran saya di Facebook sebelum ini, kalau dia tak nak sensitif, itu dia punya pasal. 

“Tapi jangan kartunkan sensitiviti umat Islam terhadap penghinaan kepada Islam!” tegas Afnan yang mahu melihat tindakan tegas daripada kerajaan menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Menurut beliau, pinda undang-undang supaya ditambah beratkan lagi hukuman kepada pesalah berkenaan perlu dilakukan segera bagi, bagi mengelak implikasi lebih besar dan buruk ke atas ketenteraman awam di negara ini.

Malah katanya, jika tidak ditangani sebaik mungkin, ia akan terus menjarakkan usaha perpaduan yang sedang dibuat di mana pertembungan agama dan kaum akan menjadi lebih tajam dengan isu sebegini. 

“Ada juga kumpulan bukan-Islam yang bersama dengan kita, tidak setuju dengan insiden penghinaan kepada Islam atau kalimah Allah ini. Tapi suara mereka kecil, ditenggelamkan oleh puak lain yang sengaja mahu isu ini terus menyala dan membakar perpaduan serta keharmonian,” kesali beliau. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -