PRU16: PN yakin mampu pertahan Perlis

Muhammad Azmir Azizan
- Advertisement -

KEJAYAAN PERIKATAN NASIONAL (PN) menguasai 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dianggap sebagai sesuatu yang tidak diduga.

- Advertisement -

Bagaimanapun usaha untuk mengekalkan kemenangan itu sesuatu yang tidak mudah. Persoalannya mampukah PN mengukuh kedudukan di negeri paling utara tersebut.

Situasi itu turut dikongsi Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Perlis Mohammad Azmir Azizan. Beliau yakin PN mampu mempertahankan Perlis pada PRU akan datang.

Kata Ustaz Azmir gelombang yang berlaku pada PRU lepas diyakini masih bertahan sehingga sekarang.

Buktinya kata beliau hasil program ziarah yang diadakan setiap minggu dengan mengunjungi rumah penduduk menunjukkan reaksi positif.

“Alhamdulillah kita turun pada program ziarah dengan bertemu dengan penduduk yang terlantar sakit, OKU dan keluarga baru dapat bayi penerimaan masyarakat begitu menggalakkan.

“Begitu juga program pertemuan dengan anak-anak muda mendapat sokongan padu. Antaranya Sambutan Merdeka peringkat DUN dan majlis hari raya mendapat sambutan di luar jangka.

“Apa yang berlaku itu menjelaskan gelombang pada PRU lepas masih bertahan sehingga sekarang. Sasaran program terbabit dalam kalangan anak muda dan wanita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Azmir yang juga anggota Exco kerajaan Perlis tidak menolak gelombang yang berlaku pada PRU lepas kerana penyertaan ahli parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersama PAS dan PN.

Apa yang jelas gelombang anak-anak muda yang mahu kepada perubahan seperti berlaku di seluruh negara.

“Setiap ADUN kena bekerja dari sekarang dengan masuk kampung untuk menemui rakyat. Kerjasama semua pihak untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang apa yang kerajaan telah buat,” tambahnya. 

Ditanya usaha PN mempertahankan Perlis pada PRU akan datang, kata beliau pelbagai perancangan dan program dilaksanakan.

Antaranya program membasmi kemiskinan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perlis turut mendapat perhatian Raja Muda Perlis.

Begitu juga program 100 kali kayuhan bersama tuanku Raja Muda turut diadakan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf.

“Tuanku akan memilih tiga buah rumah di setiap qariyah untuk dikunjungi baginda. Manakala golongan asnaf lain akan menerima sumbangan daripada taunku pada program yang diadakan di masjid,” ujar Azmir. 

Selain itu agensi lain termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut terbabit dengan program Rumah Mesra Rakyat dengan membina rumah untuk golongan asnaf.

Kerajaan PN Perlis juga memberi tumpuan bagi menyediakan peluang pekerjaan dengan mewujudkan kawasan perindustrian baharu.

Tahun 2024 kerajaan PN berusaha mencari pelabur untuk melabur di Perlis yang akan memberi manfaat kepada anak-anak tempatan.

Turut diberi perhatian meningkatkan hasil melalui perlombongan dolomite.

“Kerajaan negeri mencari kaedah yang terbaik untuk meningkatkan hasil negeri.

“Turut diberi perhatian bagi menghasilkan produk hiliran daripada perlombongan dolomite untuk dimanfaatkan dalam sektor pertanian,” katanya.

Integriti

Perlis juga mengikut jejak Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi meningkatkan integriti dalam kalangan penjawat awam.

Antara usaha yang dilakukan kata Azmir memberi kefahaman mengenai konsep pahala dan dosa bagi melahirkan modal insan yang lebih bertanggungjawab.

Kefahaman mengenainya diperluaskan melalui program Bicara Duha yang melibatkan semua kakitangan Kompleks DUN Perlis. Ia diadakan setiap Jumaat minggu kedua.

“Program Bicara Duha turut diadakan di Pejabat SUK dan Pejabat Kewangan Negeri bagi program peringkat negeri.

“Dan setiap Sabtu minggu kedua juga diadakan Halaqah Ilmiah yang terbuka kepada orang awam. Program tersebut dianjurkan di Rumah Menteri Besar,” tambahnya.

Kerajaan Perlis turut mewajibkan penggunaan tulisan jawi di papan tanda dan premis perniagaan.

Perkara itu dimulakan dengan menggunakan tulisan jawi di kereta rasmi Menteri Besar, Exco dan kenderaan milik kerajaan negeri.

Menyentuh mengenai polisi pelaburan Azmir berkata, usaha untuk menarik pelabur dipermudahkan, namun ia tidak bermakna memberi sewenangnya tanah kepada pelabur.

Oleh itu dalam tempoh setahun lapan bulan Perlis di bawah teraju PN perubahan mulai kelihatan. Sekarang tidak ada lagi premis judi seperti yang terdapat pada era sebelum ini. – HARAKAHDAILY 15/4/2023

- Advertisement -