Rundingan gencatan senjata Gaza buntu

Penduduk Palestin kembali ke Rafah selepas tentera Israel berundur dari situ.
- Advertisement -

KAHERAH: Hamas menolak cadangan gencatan senjata Israel yang dibuat ketika rundingan di ibu negara Mesir, manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menetapkan tarikh untuk menceroboh Rafah, tempat perlindungan terakhir rakyat Palestin di Gaza.

Israel dan Hamas menghantar pasukan ke Mesir pada Ahad lalu untuk perundingan dengan Qatar dan Mesir serta Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns sebagai pengantara.

- Advertisement -

Kehadiran Burn dilihat sebagai tekanan yang semakin meningkat sekutu utama Israel, Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai persetujuan yang akan membebaskan rakyat Israel yang ditahan di Gaza dan penyaluran bantuan kepada orang awam Palestin dalam konflik enam bulan itu.

Namun pegawai kanan Hamas, Ali Baraka memberitahu Reuters: “Kami menolak cadangan terbaharu Israel yang dimaklumkan pihak Mesir kepada kami. Biro Politik bermesyuarat hari ini dan memutuskan perkara ini.”

Seorang lagi pegawai Hamas sebelum ini memberitahu bahawa tiada kemajuan dicapai dalam rundingan itu.

“Tiada perubahan dalam kedudukan pendudukan (Israel). Oleh itu, tiada perkara baharu dalam rundingan Kaherah,” kata pegawai Hamas yang enggan dikenali, kepada Reuters. “Belum ada kemajuan.”

Di Baitulmaqdis, semalam, sehari selepas tentera Israel berundur dari beberapa kawasan selatan Gaza, Netanyahu berkata beliau telah menerima laporan terperinci mengenai rundingan di Kaherah.

“Kami sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat kami, pertama sekali pembebasan semua rakyat kami dan mencapai kemenangan sepenuhnya ke atas Hamas,” kata Netanyahu.

“Kemenangan ini memerlukan memasuki Rafah dan menghapuskan batalion pengganas di sana. Ia akan berlaku – ada tarikhnya.” Namun, dia tidak menyatakan tarikhnya.

Rafah adalah tempat perlindungan terakhir bagi orang awam Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman berterusan Israel yang telah meranapkan rumah mereka. Bagi Israel, Rafah juga adalah kubu terakhir unit tempur Hamas yang bagi rakyat Palestin adalah pejuang yang mempertahankan hak mereka.

Lebih sejuta penduduk Palestin bersesak-sesak di bandar selatan itu dalam keadaan terdesak, kekurangan makanan, air dan tempat tinggal. Kerajaan dan organisasi antarabangsa pula menggesa Israel supaya tidak menyerang Rafah yang pasti akan menyebabkan pertumpahan darah.

Beratus-ratus penduduk Palestin yang tinggal dalam khemah di Rafah kembali ke kawasan rumah mereka yang musnah semalam berikutan pengunduran Israel. Ada yang menaiki kereta keldai dan kenderaan roda tiga, selain yang hanya berjalan kaki.

“Ia adalah kejutan, suatu kejutan … kemusnahan tidak dapat digambarkan,” kata Mohammed Abou Diab. “Saya akan ke rumah saya dan tahu rumah itu telah musnah. Saya akan mengalihkan runtuhan untuk mengeluarkan baju,” katanya.

Pegawai perubatan Palestin memberitahu bahawa pasukan mereka menemui lebih 80 mayat dari kawasan operasi tentera Israel sejak beberapa bulan lalu.

Pelbagai negara menyuarakan kebimbangan terhadap angka kematian orang awam Palestin yang tinggi dan krisis kemanusiaan akibat serangan tentera Israel untuk memusnahkan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza yang padat dengan penduduk.

Mengikut Kementerian kesihatan Palestin di Gaza dalam kemas kini semalam, lebih 33,000 rakyat Palestin terbunuh dalam konflik selama enam bulan. Sebahagian besar 2.3 juta penduduk di kawasan itu kehilangan tempat tinggal dan ramai yang menghadapi risiko kebuluran. – REUTERS

- Advertisement -