Arab Saudi sambut Aidilfitri esok

Pengarah Balai Cerap di Sudair, Abdullah Al-Khudairi, ketika bersiap sedia untuk melihat anak bulan, semalam.
- Advertisement -

RIYADH: Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan bahawa anak bulan Syawal tidak kelihatan pada petang semalam, 29 Ramadan.

Sehubungan itu, hari ini menjadi hari terakhir Ramadan dan sambutan Aidilfitri akan bermula pada esok, 10 April.

- Advertisement -

Solat sunat Aidilfitri akan berlangsung di seluruh Arab Saudi pada hari Rabu sejurus selepas matahari terbit, dengan perancangan rapi dibuat bagi menampung jemaah untuk solat itu.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Abdullatif Al-Asheikh, baru-baru ini mengeluarkan arahan untuk mengadakan solat Aidilfitri 15 minit selepas matahari terbit, iaitu berdasarkan kalendar Umm Al-Qura.

Dalam pekeliling itu, beliau berkata solat Aidilfitri perlu dilakukan di kawasan solat terbuka yang ditetapkan, begitu juga di semua masjid kecuali yang bersebelahan kawasan solat.

Beliau menekankan kepentingan persiapan awal untuk mengadakan solat sunat Aidilfitri di kawasan solat dan masjid yang ditetapkan, memastikan semua perkhidmatan yang diperlukan, termasuk penyelenggaraan, pembersihan, dan operasi, disediakan supaya jemaah dapat melakukan ibadah mereka dengan mudah dan selesa.

Mohammed Aslam, yang bekerja di sebuah agensi pelancongan di Riyadh, memberitahu Arab News: “Aidilfitri adalah peristiwa yang menggembirakan dan diberkati. Ia adalah hari yang Allah Taala mengurniakan pahala kepada semua orang beriman yang dengan ikhlas mengabdikan masa mereka sepanjang bulan suci Ramadan untuk memohon keredhaan-Nya.”

Ahad lalu, Mahkamah Agung Arab Saudi meminta umat Islam di seluruh negara itu untuk melihat hilal Syawal pada petang semalam.

Dalam pengumuman itu, mahkamah menggesa individu yang melihat hilal Syawal dengan mata kasar atau melalui teleskop supaya melaporkannya ke mahkamah terdekat yang akan merekodkan keterangan mereka.

Ramadan bermula di Arab Saudi serta kebanyakan negara Arab dan negara lain pada 11 Mac lalu. – ARAB NEWS

- Advertisement -