Jerman perlu henti sokong genosid di Gaza

Duta Nicaragua ke Belanda, Carlos Jose Francisco Arguello Gomez (kanan) mengetuai delegasi mendakwa Jerman melakukan genosid.
- Advertisement -

THE HAGUE: Jerman dihadapkan ke mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana didakwa “memudahkan pelakuan pembunuhan beramai-ramai” terhadap rakyat Palestin di Gaza melalui penyelarasan dengan sekutu tentera dan politik, Israel.

Nicaragua yang membentangkan kes terhadap Jerman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam, menuntut hakim mengambil langkah kecemasan untuk menghalang Berlin memberikan senjata dan bantuan lain kepada Israel.

- Advertisement -

Dalam hujah pembukaan, Duta Nicaragua ke Belanda yang juga ketua delegasi negara itu, Carlos Jose Francisco Arguello Gomez, berkata: “pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa…termasuk pembunuhan beramai-ramai, sedang berlaku di Palestin” dan “dilakukan secara terbuka”.

“Kes di hadapan kita melibatkan peristiwa penting yang menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan ratusan ribu orang, malah kemusnahan seluruh rakyat.”

Dalam keadaan demikian, katanya negara lain mesti mengelak mengambil langkah “membantu pelaku”.

“Jerman melanggar kewajipan yang dikenakan ke atas semua negara,” kata Gomez, sambil menambah bahawa Jerman tidak dapat “membezakan antara mempertahankan diri dan pembunuhan beramai-ramai” dalam kes Gaza.

“Jika tindakan Israel terus tidak terkawal seperti yang telah mereka lakukan sejak dilahirkan sebagai sebuah negara dan mereka terus menerima sokongan tanpa berbelah bahagi dari negara seperti Jerman, maka generasi baru Palestin akan bangkit semula pada masa hadapan,” katanya memberi amaran.

Peguam yang mewakili Nicaragua, Daniel Mueller juga memberitahu mahkamah bahawa ia adalah “alasan yang menyedihkan kepada kanak-kanak, wanita dan lelaki Palestin untuk memberikan bantuan kemanusiaan, termasuk penghantaran melalui udara, di satu pihak dan menyediakan peralatan ketenteraan yang digunakan untuk membunuh dan memusnahkan mereka… sebaliknya.”

Bercakap kepada wartawan selepas perbicaraan ICJ, anggota pasukan perundangan Jerman, Tania von Uslar-Gleichen, menyifatkan pembentangan Nicaragua “berat sebelah” dan berkata, Jerman tidak sabar-sabar untuk menangkis pertuduhan itu.

“Pembentangan Nicaragua sangat berat sebelah dan kami akan memberitahu anda esok cara kami melaksanakan tanggungjawab kami sepenuhnya,” kata Uslar-Gleichen.

Dalam pembentangan setebal 43 muka surat kepada mahkamah, Nicaragua berhujah bahawa Jerman melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 yang diperkenalkan selepas Holokaus.

Mengikut penghujahan Nicaragua: “Penghantaran peralatan ketenteraan dan kini menafikan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat)…Jerman memudahkan pelakuan pembunuhan beramai-ramai.”

“Kegagalan Jerman adalah lebih tercela kerana negara itu mempunyai hubungan istimewa yang diisytiharkan sendiri dengan Israel yang akan membolehkan negara itu mempengaruhi kelakuan Israel secara bermanfaat,” tambah Nicaragua.

Nicaragua meminta ICJ memutuskan “langkah sementara” – perintah kecemasan dikenakan sementara mahkamah mempertimbangkan kes secara lebih meluas.

Adalah “penting dan mendesak” mahkamah memerintahkan langkah demikian memandangkan nyawa “ratusan ribu orang” terancam.

ICJ ditubuhkan untuk mengadili pertikaian antara negara dan menjadi pemain utama dalam konflik antara Israel dan Hamas yang meletus sejak 7 Oktober.

Dalam kes berasingan, Afrika Selatan mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza yang negara itu nafikan.

Dalam kes itu, mahkamah memerintahkan Israel melakukan segala-galanya untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai dan baru-baru ini memperkukuh pendirian dengan mengarahkan langkah tambahan yang mewajibkan Israel meningkatkan akses kepada bantuan kemanusiaan.

Keputusan mahkamah adalah mengikat negara terbabit, tetapi tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan. Sebagai contoh, mahkamah mengarahkan Rusia untuk menghentikan pencerobohan ke atas Ukraine, tetapi tidak dipedulikan.

Nicaragua memohon lima langkah sementara, termasuk Jerman “segera menggantung bantuan kepada Israel, terutama bantuan ketenteraan, termasuk peralatan ketenteraan”.

Negara itu juga meminta mahkamah memerintahkan Jerman supaya “menterbalikkan keputusan menggantung pembiayaan UNRWA.”

Januari lalu, Jerman menghentikan pembiayaan sementara menunggu siasatan terhadap tuduhan Israel bahawa beberapa kakitangan UNRWA mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober. – AL JAZEERA

- Advertisement -