Satu sen pun pembangkang belum dapat peruntukan kerajaan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Madani akan dikenang sebagai kerajaan yang gagal kerana sehingga kini satu sen peruntukan belum diberi kepada Ahli Parlimen pembangkang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pelbagai alasan diberi kerajaan walaupun perbincangan banyak kali dibuat.

Malah katanya, kerajaan sengaja melengahkan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, walaupun selepas lebih setahun mentadbir negara.

“Ini hak rakyat, jika mereka rasa boleh pergi jauh dengan menzalimi rakyat, silakan.

“Sebelum ini setiap Ahli Parlimen akan menerima peruntukan RM3.8 juta setahun iaitu meliputi RM2 juta dalam bentuk projek mesra rakyat termasuk menurap jalan dan pembinaan dewan.

“Manakala RM1.5 juta pemberian terus kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang diuruskan Ahli Parlimen dan RM300,000 untuk pengurusan pusat khidmat,” katanya di sini.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat kesal dengan tindakan Kerajaan Madani yang menidakkan hak rakyat.

Bagaimanapun beliau menjangka pembangkang tidak akan diberi peruntukan sepanjang pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 5/4/2024

- Advertisement -