Jumlah kebakaran di Kelantan lebih 50 peratus

- Advertisement -

KOTA BHARU: Cuaca panas yang berterusan menyebabkan jumlah kebakaran di Kelantan meningkat melebihi 50 peratus.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, data terbaru merekodkan sebanyak 577 kes sehingga 25 Mac lalu berbanding 257 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah kes kebakaran yang direkodkan tahun ini berada pada angka membimbangkan.

Menurutnya, faktor yang menyebabkan kebakaran meningkat kerana cuaca pada masa ini begitu panas.

“Kebakaran itu membabitkan rumah kediaman, premis kedai, kebakaran hutan, belukar atau lalang, tempat pembakaran sampah, hutan gambut dan kebun.

“Kebakaran terbuka membabitkan sebanyak 339 kes dan kebakaran belukar paling tinggi sebanyak 244 kes, diikuti kebakaran kawasan sampah 63 kes dan selebihnya melibatkan kediaman, hutan serta kebun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Kelantan di Pasar Raya Mydin di Tunjong di sini, petang semalam.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah.

Zainal juga berkata, bagi pembakaran terbuka terdapat lapan ‘hotspot’ yang dikenal pasti di Bachok termasuk di Beris Lalang, Kandis, Rekang, Pantai Irama dan Telong.

Katanya Bomba sentiasa membuat pemantauan di lokasi ‘hotspot’ untuk mengelakkan kebakaran terbuka.

“Selain itu, JBPM Kelantan juga memulakan gerakan kempen keselamatan serta pencegahan kebakaran dengan turun padang menyantuni kumpulan sasaran dan komuniti dengan memberi khidmat nasihat,” katanya.

Beliau berkata, JBPM juga menjalin kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mencegah kebakaran terbuka.

Kata beliau juga pihaknya mempunyai punca air yang mencukupi selain pili bomba iaitu, sumber air sungai dan kolam serta telaga tiub bagi memadam kebakaran. – HARAKAHDAILY 5/4/2024

- Advertisement -