Kenyataan MCCBCHST biadap persoal enakmen jenayah syariah

Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang mempersoalkan tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan kembali enakmen jenayah syariah yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini adalah satu kenyataan yang biadap.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, hal ini adalah kerana ianya merupakan hak orang-orang Islam untuk melaksanakannya, bukan sahaja hak untuk bersolat, membina masjid, berpuasa dan sebagainya, malah hak untuk mereka dihukum dengan hukuman yang berlandaskan kepada syariat Islam.

- Advertisement -

“Apa yang berlaku ialah satu pelanggaran hak yang sangat ketara yang perlu diberi perhatian”,

“Perkara yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan adalah undang-undang dan enakmen hanya untuk orang Islam, tidak melibatkan orang bukan Islam. Sepatutnya pihak berkenaan yang begitu lantang membicarakan tentang 3R perlu memberikan perhatian kepada kenyataan ini”, katanya.

Oleh yang demikian, menurutnya lagi, tidak timbul isu melanggar keputusan Mahkamah Persekutuan kerana pihak Mahkamah berperanan untuk menjatuhkan hukuman, walaupun Dewan Undangan Negeri berperanan untuk menggubal undang-undang ataupun enakmen.

“Jadi, apa yang dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan adalah satu tindakan yang wajar, kerana ianya adalah satu tanggungjawab kepada setiap orang Islam untuk berhukum dengan hukum syarak”, ujarnya.

Tambahnya lagi, tidak timbul isu pertindihan antara hukuman syarak dengan hukuman mahkamah sivil kerana ianya merupakan satu realiti yang sangat berbeza.

“Mereka yang dihukum dalam mahkamah syariah adalah berasaskan kepada roh Al-Quran dan As-Sunnah, mereka yang dihukum di mahkamah syariah mestilah mengikut syariat Islam”

“Sebagai contoh, hakim mestilah seorang Islam, saksi-saksi mestilah orang Islam. Perbicaraan mestilah mengikut cara Islam, hukuman dan cara ianya dihukum mestilah mengikut syariat Islam”, katanya.

Hal ini berbeza dengan apa yang dilaksanakan di mahkamah sivil kerana walaupun hukumannya adalah sama dengan mahkamah syariah, namun ‘rohnya’ tidak Islam.

“Hakim tidak semestinya orang Islam, saksi-saksi tidak semestinya orang Islam, cara penghukuman tidak semestinya mengikut cara Islam. Jadi ianya satu perkara yang sangat jelas tentang perbezaan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil”, tambah beliau.

Oleh itu, beliau percaya apa yang dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan adalah perkara yang sangat wajar dilakukan untuk mereka menegaskan tanggungjawab sebagai umat Islam menyimpulkan kembali simpulan-simpulan hukum-hakam Islam yang dirungkai.

Beliau juga sempat memetik ayat Al-Quran yang membawa maksud; “apa yang tidak boleh dilaksanakan semua, jangan ditinggalkan semua”, susulan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan mereka tidak boleh untuk melaksanakan sepenuhnya undang-undang berkenaan.

“Allah SWT tidak akan bertanya adakah kamu berjaya melakukan keseluruhannya ataupun tidak, tetapi Allah SWT akan bertanya adakah kamu berusaha untuk melaksanakannya ataupun tidak”, tegasnya. – HARAKAHDAILY 5/4/2024

- Advertisement -