Bekas atlet berbasikal negara meninggal dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas atlet berbasikal negara, Salina Yussof meninggal dunia jam 8 malam tadi di rumah Jagaan Warga Emas Mercy, Seremban.

- Advertisement -

Allahyarham Salina yang sebelum ini terlantar di sebuah rumah jagaan itu telah menerima perhatian menerusi Projek Ramadan di antara Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Astro Arena.

Perkongsian berita kematian allahyarham turut dimuat naik menerusi laman twitter oleh wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman. 

“Kami menerima khabar duka bahawa bekas pelumba berbasikal negara, Salina Yussof telah menghembuskan nafas terakhirnya jam 8 malam tadi.

“Pemergian dicemburui pada malam Jumaat dan lima hari terakhir Ramadan. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah,” kongsinya.

Menurutnya, allahyarham merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Bangkok 1985.

Dalam pada itu, Fatin turut memberitahu, allahyarham terpaksa diletakkan di rumah jagaan Warga Emas Mercy selepas kehilangan suami dan anak tunggalnya ekoran kemalangan pada 2019.

Selepas laporan itu viral, adik-beradik allahyarham datang menziarahi dan menyerahkan baju kurung bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri. – HARAKAHDAILY 5/4/2024

- Advertisement -