Galak rakyat tunai solat sunat istisqa’ di kampung

Solat sunat Istisqa' di Rumah Pam Tok Ajam, Pasir Puteh.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menggalakkan rakyat di negeri itu menunaikan solat sunat istisqa’ di peringkat kampung atau secara persendirian bagi memohon hujan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri tidak menganjurkan program itu secara khusus, sebaliknya menyarankan orang ramai melakukannya sendiri.

“Berikutan cuaca panas belum berakhir saya menyeru rakyat Kelantan supaya mengadakan solat sunat istisqa’ dan berdoa supaya Allah Taala membantu kita dengan menurunkan hujan.

“Akibat cuaca panasa yang melampau, banyak tanaman mati terutamanya padi yang memerlukan banyak air untuk membesar dan mengeluarkan hasil,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Baru-baru ini, Pejabat Kada Jajahan (PKJ) Pasir Puteh dan PKJ Bachok menganjurkan solat sunat istisqa’ di di Rumah Pam Tok Ajam, Pasir Puteh yang dihadiri kakitangan dan petani.

Bagaimanapun, Sabtu lepas hujan agak lebat turun di banyak kawasan di hulu Kelantan termasuk Kuala Krai. 

Menteri Besar juga berkata, dalam keadaan begini amat wajar orang ramai menunaikan solat sunat istisqa’ di kampung-kampung bersama imam dan penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -