KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan kesan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) kepada pelabur-pelabur asing yang dilaksanakan bermula 1 Mac lepas dengan unjuran tambahan hasil sebanyak RM800 juta setahun berdasarkan trend pindah milik saham.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff khuatir sekiranya dengan pelaksanaan akta tersebut akan mempengaruhi para pelabur asing untuk menimbang kembali pelaburan mereka ke negara kita.
“Kerana dengan pengenaan cukai-cukai ini akan mempengaruhi keuntungan mereka. Kita bimbang pelabur-pelabur asing tidak berminat untuk melabur atau (mereka akan) mengeluarkan pelaburan mereka dari negara kita.
“Saya mohon penjelasan dan perincian anggaran perolehan hasil mengikut kategori syarikat,” mohon beliau semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.
Selain itu menurut beliau, kerajaan meletakkan pengecualian CGT ke atas unit amanah untuk memastikan pasaran modal terus berkembang.
“Persoalan saya sejauh mana kesan pengecualian ini terhadap unjuran hasil pendapatan negara dan adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk melanjutkan tempoh selepas tarikh akhir pengecualian pada 31 Disember 2028.
“Memandangkan ketika ini terdapat empat pengecualian bagi pelupusan saham tidak tersenarai bagi aktiviti-aktiviti perniagaan termasuk unit amanah, tawaran awam permulaan, penstrukturan dalam syarikat dalam kumpulan, serta syarikat modal teroka.
“Saya ingin bertanya apakah status kajian berhubung cadangan untuk memperluaskan skop pengecualian CGT kepada syarikat yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia.
“Saya juga ingin tahu setakat ini berapakah syarikat yang telah melaporkan pendapatan pelupusan aset modal melalui borang nyata CGT e-filing dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pelupusan, (dan) apakah tindakan yang diambil terhadap syarikat yang gagal berbuat demikian,” soal beliau. – HARAKAHDAILY 3/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!