Tutup karnival raya atas pilihan penganjur

Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Penutupan Karnival Fiesta Raya Baling adalah atas pilihan penganjur bukannya arahan kerajaan negeri sebagaimana tular di media sosial.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihaknya hanya mengeluarkan arahan serta teguran tegas kepada penganjur agar hiburan melampau dihentikan segera.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya mengeluarkan arahan memberhentikan hiburan melampau khususnya di bulan Ramadan ini, sebaliknya penganjur yang memilih untuk menutup seluruh jualan di karnival itu.” jelas beliau, di sini.

Tindakan penganjur menutup operasi jualan di karnival berkenaan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan para peniaga.

Malah tular di media sosial seorang usahawan terkemuka khususnya utara Semenanjung Malaysia menyalahkan kerajaan negeri kononnya tidak prihatian serta peka kepada para perniaga yang telah mengeluarkan modal yang banyak untuk karnival tersebut.

“Tutup jualan di karnival adalah pilihan pihak penganjur, bukan arahan kerajaan negeri, mahupun Majlis Daerah Baling atau PBT. Kita cuma bertindak tegas memberhentikan pengisian program yang tidak sihat seperti hiburan melampau, bukan tutup jualan karnival,” tambah Mansor lagi.

Jumaat lalu, beliau dalam kenyataannya memaklumkan penganjur karnival itu telah melanggar syarat dan garis panduan yang dikeluarkan oleh PBT apabila menghidangkan persembahan agak melampau dengan menampilkan selebriti terkenal bersama beberapa orang lelaki lain menari ala dangdut di atas pentas. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -