Pencegahan lebih murah berbanding kos rawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan digesa memikirkan satu kaedah yang lebih tuntas untuk mempromosikan kesihatan kepada rakyat supaya dapat mengurangkan kos perubatan ditanggung.

- Advertisement -

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, kos mempromosikan atau pencegahan adalah jauh lebih murah berbanding kos merawat penyakit yang mana berdasarkan jadual Perkara B42, Kementerian Kesihatan perlu berbelanja tambahan sebanyak RM687 juta.

“(Kementerian Kesihatan perlu) perbanyakkan program saringan kesihatan terutama saringan penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, serangan jantung dan strok yang boleh dicegah,” tegas beliau.

Dr Wan Martina mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Ujarnya, komplikasi kepada penyakit-penyakit ini seperti kegagalan buah pinggang adalah antara yang menyebabkan kerajaan menanggung kos yang terlalu tinggi. 

“Saya juga memohon penjelasan setakat ini sejauh mana kejayaan program saringan PeKa (Skim Peduli Kesihatan) B40 dalam mengurangkan kos rawatan rawatan penyakit kronik.

“Dan apakah perancangan kementerian bagi mengurangkan kos perolehan ubat dan penambahbaikkan terhadap kaedah pembelian ubat mengambil kira harga ubat-ubatan yang sering dipengaruhi oleh pelbagai faktor luar seperti kadar pertukaran mata wang asing,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -