Penganjur Karnival Fiesta Raya Baling 2024 mohon maaf

Mohd Taufik Yaacob
- Advertisement -

ALOR SETAR: Operasi Karnival Fiesta Raya Baling 2024 yang ditamatkan pada 30 Mac lalu adalah pilihan penganjur.

- Advertisement -

Langkah itu diambil setelah mendapat nasihat serta teguran daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mohd Taufik Yaacob.

Perkara itu dimaklumkan oleh penganjurnya, Maju Kedah Resources melalui kenyataan terbukanya, di sini.

Dalam pada itu pihak penganjur juga memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak terutama rakyat Kedah atas kontroversi yang berlaku membabitkan selebriti terkenal tanah air baru-baru ini.

Katanya, persembahan tarian ala dangdut selebriti itu bersama beberapa orang lelaki di atas pentas berlaku di luar jangkaan dan perkara tersebut bukan salah satu daripada atur cara program.

“Merujuk kepada video viral menari di atas pentas Fiesta Raya Baling baru-baru ini, kami bagi pihak penganjur Fiesta Raya Baling 2024 memohon sejuta kemaafan atas isu berkenaan,” kata penganjur tersebut.

Malah katanya, kehadiran selebriti berkenaan itu adalah atas jemputan sahabat TikToknya yang turut sama berniaga di Fiesta Raya Baling tersebut.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria dalam kenyataannya memaklumkan, karnival itu pada asalnya tidak mendapat kebenaran Majlis Daerah Baling ekoran telah ada ekspo anjuran majlis berkenaan di Batu 42, Baling.

Namun atas desakan penganjur serta beberapa Ahli Majlis Daerah terbabit, kelulusan diberikan bersama syarat dan garis panduan yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -