Simpul matikan tuntutan Sulu terhadap Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bertindak dalam isu penyelesaian terhadap tuntutan Sulu meskipun selepas mereka tewas dalam petisyen yang dikemukakan di mahkamah negara asing. 

- Advertisement -

Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata, sebelum ini negara dilaporkan dengan tuntutan USD15 bilion yang dikemukakan oleh United Tausug Citizens (UTC) ke atas Wilayah Sabah. 

“Persoalannya apakah rancangan Kerajaan bagi memastikan tuntutan Sulu terhadap Sabah dapat disimpul matikan. 

“Kita melihat meskipun dengan adanya Protokol Madrid 1885, Perjanjian Carpenter 1915 dan Suruhanjaya Cobbold 1962, Sulu masih terus mempertikai kedaulatan wilayah Sabah sebagai Negeri Borneo sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

“Persoalannya, bagaimana RUU ini menanggapi perkara ini secara tuntas berkait dengan tuntutan berterusan Sulu ke atas wilayah Sabah yang dibawa sehingga ke mahkamah negara asing,” soal Ustaz Musoddak.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan justifikasi surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara pada September 2019 yang menyatakan negara sanggup membayar sejumlah RM48,230 tunggakan pembayaran wang serahan kepada waris Kesultanan Sulu.  

“Saya kira sehingga hari ini kita masih belum mendapat jawapan yang sebenarnya tentang surat tersebut sedangkan kita semua sedia maklum pemberhentian pembayaran wang serahan kepada Sulu bermula tahun 2013 kerana tragedi di Lahad Datu.

Beliau juga meminta kerajaan memaklumkan implikasi penggubalan akta ini dalam konteks perubahan dasar, polisi serta perundangan negara.

“Dan apakah bentuk penguatkuasaan yang akan dijalankan apabila akta ini digazetkan kelak. Apakah duluan kes yang menjadi sandaran Kerajaan dalam menggubal akta ini,” tanya beliau. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -