Royalti: Majoriti rakyat Terengganu bersama kepimpinan negeri

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majoriti rakyat bersama kepimpinan Kerajaan Terengganu dalam isu royalti, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Menurutnya, suasana dan situasi sekarang berbeza dan cara berfikir rakyat bukan lagi sebagaimana pada 1999-2004 sewaktu PAS memerintah negeri.

Katanya, dahulu apabila royalti dinafikan hak kepada kerajaan negeri, penyaluran maklumat yang ada hanya sehala seperti melalui RTM, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Ini, ujar beliau kerana itulah sahaja sumber maklumat rakyat.

“Ketika itu, kita masih lagi bergantung kepada perhimpunan dan rapat umum sebagai medan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Sekarang sistem penyampaian maklumat melalui pelbagai platform digital dan media sosial PAS/PN sudah setanding, walau saya yakin kita sebenarnya telah berada beberapa langkah di hadapan BN/PH,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambahnya, rakyat sekarang celik mata, hati dan minda sementara fakta berkait dengan royalti mereka sudah hadam.

Katanya lagi, kerajaan dan rakyat Terengganu dilihat sebagai mangsa keadaan yang dinafikan hak secara zalim.

Justeru, beliau menambah pengeliruan fakta oleh Putrajaya mudah ditangkis.

Menurut Dr Azman lagi, orang Umno di peringkat akar umbi pun tidak bersungguh untuk mempertahankan Kerajaan Pusat dalam isu royalti.

Malah, katanya walau dengan nada berlapik, mereka mempercayai adanya peranan pemimpin Umno Terengganu dalam menafikan hak atau mengkhianati negeri sendiri.

Buktinya, ujar beliau mana ada suara dari pemimpin Umno Terengganu yang menggesa Pusat supaya membayar wang petroleum Terengganu mengikut jadual.

“Di samping kita hidup seharian bersama rakyat, kita juga mendapat pelbagai sumber info untuk menganalisa pandangan rakyat dalam isu yang sedang berlaku.

“Kajian langsung di lapangan buat masa ini memberikan isyarat bahawa majoriti rakyat bersama kepimpinan Kerajaan Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata, ia sebenarnya kontra dengan anggapan.

“Kalau nak tahu bagaimana situasi Terengganu sekiranya royalti terus dinafikan, maka lihatkan bagaimana pengalaman 1999-2004.

“Realitinya, ia tak sama dan tak serupa,” tambah ADUN Jabi itu lagi.

Menurutnya, taktik menekan rakyat dengan harapan mereka akan mengalih sokongan mungkin relevan pada masa itu tetapi tidak pada masa sekarang. – HARAKAHDAILY 30/3/2024

- Advertisement -