Royalti: ‘Nak tekan buat apa sebab dibayar penuh’

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Jawabnya, nak tekan buat apa sebab bayaran sudah dibayar penuh,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian sekiranya ditanya mengapa Terengganu tidak menekan Kerajaan Pusat untuk mendapatkan royalti semasa 33 bulan PERIKATAN NASIONAL (PN) di Putrajaya.

Menurutnya, pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM) pada tahun 2018, Terengganu mendapat wang petroleum atas nama ‘Wang Tunai Petroleum’.

“Dibayar dua kali setahun pada Mac dan September. Cuma dipotong 25 peratus untuk bayar hutang Negeri kepada Pusat,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi PM, Terengganu mendapat wang petroleum dengan nama ‘Dana Khas Kerajaan Persekutuan’.

Jelasnya, bayaran penuh mengikut jadual pada bulan Mac dan September dan tiada pemotongan sebagaimana yang dipotong zaman Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

Menurutnya lagi, semasa Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi PM, Terengganu juga mendapat duit minyak atas nama Dana Khas Kerajaan Persekutuan di mana bayaran penuh pada Mac dan September.

Pada zaman Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi PM pula, Terengganu hanya mendapat bayaran wang petroleum atas nama ‘Wang Ehsan’ secara ansuran bulanan kira-kira RM50 juta sebulan yang hanya cukup untuk bayaran gaji dan emolumen.

“Bukan bayaran penuh dan berjadual sebanyak dua kali setahun sebagaimana sebelum ini. Berbaki lebih RM700 juta lagi yang belum dibayar bagi tahun 2023,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Justeru, ujarnya Terengganu tidak menekan Pusat untuk mendapatkan royalti semasa PN memerintah kerana sudah dibayar penuh.

“Kita tak kisah dengan nama sama ada nama royalti, Wang Ehsan, Wang Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dr Azman berkata, apa yang penting bayaran daripada hasil minyak yang menjadi hak hak rakyat Terengganu dibayar.

“Ada Akta Laut Wilayah 2012 yang menghalang? Selepas Akta Wilayah Laut digubal tahun 2012, Terengganu tetap dapat bayaran sebagaimana biasa.

“Jadi apa halangannya? Ianya hanya jadi luar biasa selepas PMX berkuasa di Putrajaya,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -