Perlu tindakan tegas pihak hina Islam

- Advertisement -

TUMPAT: Kerajaan Malaysia diminta mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang mempersendakan kesucian Islam bagi mengelak kejadian serupa terus berulang.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah sekian lama Islam dihina oleh golongan tidak bertanggungjawab tanpa tindakan tegas kerajaan.

“Sebelum ini dicetak ayat-ayat al-Quran pada pakaian dalam perempuan, nama Allah dicetak pada tapak kasut dan terbaru di stoking pula.

“Negara perlu ada undang-undang terhadap golongan yang menghina Allah dan Rasul-Nya. Kalau dahulu golongan tersebut dihukum mati kerana menghina Allah dan Rasul,” katanya ketika berucap pada Program Penghayatan Nuzul Al-Quran dan Badar al-Kubra malam tadi.

Oleh itu kata beliau Mahkamah Syariah perlu diperkasakan termasuk membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa penggubalan enakmen undang-undang agama Islam.

Tambahnya, pemerkasaan itu penting sebagai usaha menjaga kesucian agama Islam di negara ini agar ia tidak dihina secara berlarutan.

Katanya, sesiapa yang menghina Allah dan Rasul-Nya, apabila meninggal dunia bumi tidak akan terima mayat mereka.

Tambahnya, sebelum ini kejadian tersebut (hina Islam) sering berlaku di luar negara, namun kini perkara serupa turut melanda Malaysia.

“Kita telah diperingatkan memboikot produk Israel kerana pencabulannya terhadap umat Islam di Palestin.

“Tetapi, kes menghina Allah dan Rasul adalah lebih besar dari segala-galanya untuk menggambarkan betapa beratnya dosa menghina Islam,” katanya.

Pada majlis itu juga, beliau mengingatkan umat Islam supaya memperbanyakkan ibadat khususnya di penghujung Ramadan. – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -