Bayi dua bulan meninggal dunia akibat jangkitan Pertusis

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan meninggal dunia akibat jangkitan Pertusis atau batuk kokol yang dilaporkan berlaku di Kelantan sehingga minggu ke-12, semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kematian itu dikesan berlaku di Tanah Merah pada Februari lepas.

Katanya, setakat semalam sebanyak 29 kes direkodkan di seluruh negeri ini iaitu Kota Bharu (11), Tanah Merah (tujuh), Kuala Krai (empat), Pasir Puteh (tiga), Tumpat (dua) dan Gua Musang (dua).

Selain itu, menurutnya tiga kawasan wabak juga diisytiharkan di Kelantan iaitu di Tanah Merah, Pasir Puteh dan yang terbaru di Kota Bharu pada 14 Mac lalu di sebuah pangsapuri di Kubang Kerian, di sini.

“Berbanding tempoh sama (minggu ke-12) tahun lepas hanya terdapat satu kes Pertusis,” katanya pada kenyataan di sini.

Katanya, perbandingan ini menunjukkan terdapat peningkatan yang signifikan kes Pertusis yang dilaporkan berlaku di Kelantan.

Tambahnya, daripada 29 kes setakat hari ini, 22 kes atau 76 peratus daripadanya membabitkan bayi berusia antara satu hingga lima bulan.

Hilmi juga berkata tahun lalu terdapat lima kes kematian dengan keseluruhan sebanyak 90 kes dengan peningkatan kes bermula pada minggu ke-35.

Katanya bagi menangani jangkitan itu Jabatan Kesihatan melalui Cawangan Pendidikan Kesihatan meningkatkan hebahan kepada masyarakat berkenaan penyakit Pertusis melalui media sosial dan bahan promosi kesihatan yang dipamerkan di klinik dan hospital.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai sentiasa peka terhadap perkembangan penyakit tersebut. – HARAKAHDAILY 28/3/2024

- Advertisement -