Lihat keberhasilan MIMOS, tujuan asal ditubuhkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) digesa melihat keberhasilan MIMOS iaitu tujuan asal ditubuhkan untuk menjadi pengukuh dalam industri elektrikal elektronik terutamanya semi konduktor.

- Advertisement -

Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata sepatutnya ada ramai bakat yang lahir daripada MIMOS ini.

“Pelbagai usaha yang dibuat tetapi satu perkara yang saya agak tertanya-tanya, kita dulu kita ada MIMOS dalam road map E&E (industri elektrik dan elektronik) 2021-2030 yang diterajui bersama oleh MITI, MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi).

“MIMOS ni diberi peranan menjalankan R&D (kajian dan pembangunan) untuk semi konduktor dan juga melatih bakat dengan fasiliti-fasiliti sedia ada. Jadi, apa keberhasilan MIMOS ini sebenarnya. Dan jawapan tak disebut dan sebagainya. Kalau dulu kalau sebut MIMOS ni advance kita ni paling ke depan. Tetapi sekarang ni tak tahu di mana.

“Begitu juga bagaimana pula dengan syarikat-syarikat startup (baru nak bermula) yang ada sekarang ini dalam bidang semi konduktor yang sebahagiannya sangat berjaya dan ada yang telah dalam perjalanan untuk menjadi status syarikat unicorn misalnya syarikat Efinix berpangkalan di Pulau Pinang.

“Saya rasa yang ni perlu dibantu selain daripada syarikat antarabangsa yang banyak datang melabur di dalam Malaysia,” soal beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dalam jawapannya memberitahu, MIMOS memang mempunya peranan yang penting tetapi rantaian E&E ini panjang dan memang cadangan tersebut perlu dibuat.

“Dan juga hasrat kerajaan ialah untuk memastikan pelaburan yang datang ke negara kita sekarang ini bukan saja dia dapat dia datang tetapi dia juga hasilkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi dan dengan pekerjaan-pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan bukan pekerjaan-pekerjaan rendah.

“Dan apa yang kita nak wujudkan juga satu rantaian bekalan dan satu rantaian nilai yang merangkumi syarikat-syarikat tempatan. Saya pernah apabila saya gulung saya sebut hasrat kami, hasrat kami ialah untuk mewujudkan menjelang tahun 2030, mewujudkan 100 syarikat yang dengan hasil RM1 bilion setiap tahun.

“Syarikat teknologi Malaysia yang berhasil RM1 bilion setahun. Ini bukan mudah kerana hanya kita hanya ada sembilan syarikat sekarang ini syarikat teknologi Malaysia yang berhasil RM1 bilion setahun.

“Dan lagi 10 syarikat di mana hasil mereka di antara RM100 juta sehingga aa RM1 bilion setahun. Wave ataupun gelombang kali ni yang disebutkan pagi ni gelombang persaingan di antara China dengan Amerika, harus beri dan akan beri peluang untuk negara kita.

“Dan kita mesti mengambil kesempatan ini supaya kita ada dasar untuk mewujudkan suasana di mana syarikat-syarikat tempatan boleh jadi champion, boleh jadi syarikat yang berhasil tinggi.

“Unicorn itu terlalu besar mungkin buat setakat ini tetapi syarikat-syarikat bernilai atau berhasil setiap tahun dengan RM1 bilion adalah sasaran yang tepat,” kata beliau.

Ahmad Amzad dalam soalan asal meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan rancangan Kementerian memposisikan industri elektrik dan elektronik (E&E) negara sebagai hab utama pengeluaran semikonduktor bagi mengambil kesempatan daripada persaingan antara Amerika Syarikat dengan China dalam ‘Perang Cip’. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -