Libat urus RUU355: Wan Martina minta penjelasan kerajaan

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berkaitan Akta 355 dikatakan telah selesai.

- Advertisement -

Justeru, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff meminta penjelasan pihak kerajaan mengenai perkara tersebut.

“Saya mengikut laporan akhbar pada 24 Mac 2024, Menteri di Jabatan Pedana Menteri telah menyatakan bahawa sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung penambahbaikan kepada Akta 355 telah selesai.

“Mohon Yang Berhormat beri penjelasan mengenai sesi libat urus tersebut dan kami difahamkan ada di negeri-negeri dan jabatan berkaitan tidak mendapat maklumat dan tidak dijemput mengenai libat urus tersebut,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri di Dewan Negara, hari ini.

Beliau turut meminta penjelasan berkaitan perkembangan terkini pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 pada Oktober 2022.

“Saya juga mohon menteri memberi penjelasan mengenai keputusan dasar pada Oktober 2022 mengenai pindaan kepada RUU 355. Jadi mohon menteri jelaskan keputusan Kabinet terkini mengenai RUU tersebut,” soalnya lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya telah selesai menjalankan sesi libat urus dengan negeri-negeri pada Disember lepas.

“Latar belakang RUU355 telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu, namun selepas pemerintahan  Kerajaan Madani, kita membuat keputusan untuk melibatkan semua pihak yang terlibat dalam proses ini.

“Libat urus telah dilakukan dengan negeri-negeri, dan proses ini telah selesai pada bulan Disember yang lalu, jika ada negeri yang tidak mengetahui hal ini boleh maklum semula,” katanya.

Pada soalan asal, Dr Wan Martina meminta Perdana Menteri menyatakan usaha yang dilakukan untuk memperkasakan bidang kuasa dan menyeragamkan Mahkamah Syariah di seluruh negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Peruntukan Undang-Undang sedia ada. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -