Keputusan peperiksaan STAM 2023 YIK meningkat 

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 pelajar sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) secara keseluruhan meningkat sebanyak 4.55 peratus berbanding tahun 2022.

- Advertisement -

Bagaimanapun bilangan pelajar yang mendapat pangkat mumtaz (cemerlang) menurun kepada 28 orang berbanding 44 pelajar (2022).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Kamaruzaman Mohamad berkata, pencapaian pangkat jayyid jiddan (amat baik) seramai 117 calon.

Manakala pangkat jayyid (baik) seramai 270 calon, manakala pangkat lulus seramai 71 pelajar berbanding 78 orang (2022).

“Tiga pelajar memperolehi 10 mumtaz iaitu Ahmad Mustafid Ismail dan Putri Aminah Mohd Hanif masing-masing dari Maahad Muhammadi Pasir Mas dan Nurul Fatihah Mohamed dari Maahad Amir Indera Petra.

“Pencapaian bagi gred purata peringkat YIK berlaku peningkatan daripada 3.24 pada tahun 2022 kepada 3.09 tahun 2023.

“Pencapaian lulus mengikut pangkat juga menunjukkan peningkatan iaitu 54.55 peratus berbanding 50.00 tahun 2022,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan peperiksaan itu di Kompleks Pentadbiran YIK Tunjong sini hari ini.

Menurutnya juga Gred Purata Sekolah (GPS) Maahad Muhammadi Lelaki mendapat 2.07, Maahad Muhammadi Perempuan (3.09) dan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman (3.15).

Kamaruzaman juga berkata, jumlah calon yang menduduki peperiksaan berkurang tahun 2023 seramai 891 orang berbanding 1,188 calon pada tahun 2022.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 486 atau 54.55 peratus lulus peperiksaan itu sekurang-kurangnya pangkat maqbul (lulus) untuk 10 mata pelajaran yang diduduki.

“Saya mewakili YIK mengucap sekalung tahniah kepada semua pelajar cemerlang dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

Beliau turut mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di atas usaha bagi memajukan sistem pendidikan agama dan Arab di negeri ini. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -