Jejak Kasih Ramadan ringankan beban asnaf

- Advertisement -

SEMPORNA: PAS Semporna menyantuni dan menyampaikan sumbangan bakul Ramadan kepada asnaf di Kampung Senang Hati Tobok-Tobok, di sini, semalam.

- Advertisement -

Menurut Ketua Biro Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Semporna, Razis Asparin, program Jejak Kasih Ramadan itu bertujuan untuk meringankan beban penerima di bulan Ramadan.

“Pada tahun ini berlaku pertembungan persiapan sesi persekolahan bermula dan sambutan hari raya, jadi sudah pasti memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi.

“Dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang dihadapi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada penerima. Turut hadir ialah Imam Masjid Kampung, Jaki Haji Takamura dan Ketua Muslimat PAS Semporna, Afiqah Adam.

Razis juga berpesan supaya menghidupkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan yang dianjurkan agar mendapat nilai takwa daripada Allah.

Seramai 20 orang asnaf termasuk dua orang anak yatim telah menerima bakul Ramadan berbentuk barangan keperluan dapur.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Kampung Senang Hati, Lontok Jaulan berkata, mereka sangat berbesar hati menerima sumbangan daripada PAS.

Menurutnya, ini kali pertama mereka menerima sumbangan sejak sekian lama dan mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan yang pastinya menggembirakan penerima.

Sementara itu, biro itu juga mengadakan program Back To School di Kampung Labuan Senang.

Program itu bertujuan membantu keluarga ansaf yang serba kekurangan agar dapat belajar dengan selesa.

Ketua Kampung Labuan Senang, Salleh Moktar menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kerana memilih kampung itu untuk program BTS kali ini. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -