Kerabu sare dapat permintaan tinggi sepanjang Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Setiap kali Ramadan, makanan eksotik kerabu sarang lebih dikenali kerabu sare menjadi pilihan masyarakat negeri ini untuk dijadikan juadah berbuka atau bersahur.

- Advertisement -

Seorang peniaga tidak menang tangan menyiapkan lebih 300 plastik kerabu sarang sehari susulan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan untuk dijadikan juadah berbuka atau bersahur.

Zulkifli Ab Rahman, 57, berkata kerabu sarang yang dibuat berasaskan rumpai laut itu mendapat permintaan dua kali ganda sepanjang bulan puasa dan mengakui memperoses 10 kilogram (kg) rumpai laut setiap hari untuk dijual.

“Untuk menyiapkan kerabu sarang bukan suatu yang mudah kerana ia perlu dibersihakan dahulu rumpai laut selama hampir empat jam agar ia betul-betul bersih dan tidak berbau sebelum dikeringkan selama enam jam.

“Sebagai pelengkap kerabu ini, saya turut menyediakan tumis seperti yang ada pada nasi kerabu, kelapa goreng, sambal serta limau yang mana akan digaulkan bersama sebelum dimakan.

“Rasa masam, manis dan tekstur rangup daripada rumpai laut berkenaan ternyata dapat membangkitkan rasa yang sangat enak,” katanya ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah, di sini.

Zulkifli berkata, kerabu sarang dijual pada harga RM3 untuk satu plastik yang mendapat permintaan daripada pelbagai peringkat umur bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malah Cina dan India.

“Pelanggan saya sendiri bukan sahaja dari sekitar Kota Bharu tetapi juga luar negeri seperti Kuala Lumpur, Pahang dan Johor yang datang ke Pasar Siti Khadijah, di sini, semata-mata untuk mendapatkan kerabu sarang.

“Bekalan rumpai laut untuk membuat kerabu ini diperoleh daripada negara jiran, Thailand, namun rasanya akan lebih segar dan sedap jika rumpai ini datangya daripada Sabah atau Johor, tetapi jarang sekali saya mendapat stok dari sana,” katanya.

Menurutnya, selain kerabu dia turut menjual pelbagai jenis kuih tradisional seperti akok, pulut bakar dan kuih cara dengan dibantu isteri, Izan Ariffin, 53. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -