Bekerja atas landasan, tidak cilok ‘lane’ orang lain – Sanusi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar menghormati bidang tugas orang lain dan tidak bermain politik 24 jam.

- Advertisement -

Katanya, kerja akan jadi berselerak jika ada pihak yang enggan mematuhi sistem sedia ada apatah lagi campur tangan pada tahap yang bukan bidang kuasanya.

“Sepatutnya kita bekerja atas landasan kita, tidak ‘cilok lane‘ orang lain sesuka hati. Kita ada sistem kerja pada setiap peringkat dengan fungsi agensi serta jabatan yang menubuhkannya (establish).

“Sistem itu telah melalui pelbagai proses pemantapan sejak puluhan tahun, sudah dibukukan, diikat dengan arahan pekeliling kerajaan untuk memandu semua sendi kerajaan berfungsi pada peringkat masing-masing,” kata beliau pada satu kenyataan, hari ini.

Sanusi berkata demikian membidas kenyataan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan (MTPN) Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kononnya pihaknya tidak mengadakan mesyuarat MTPN kerana memberi ruang seluas-luasnya kepada Menteri Besar itu untuk memfokuskan pembangunan The Greater Kedah.

Dalam pada itu Saifuddin juga mendakwa pihaknya hanya akan menyelesaikan masalah loji rawatan air (LRA) di Kedah yang di bawah projek kerajaan persekutuan malah kekerapan beliau turun ke negeri itu adalah untuk menjamin projek tersebut berjalan lebih baik dan kemas.

Justeru kata Sanusi, pelaksanaan lima LRA yang sedang berjalan pada ketika ini adalah di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Seri Norizan Khazali yang dilantik sebagai Pegawai Penguasa Projek (PP) selepas projek itu diluluskan.

Sebagai penguasa, ujarnya, Pegawai PP melantik Jabatan Kerja Raya Kedah (JKR) sebagai wakil PP menubuhkan sebuah Unit Teknikal JKR iaitu Pasukan Projek Air Kedah (PPAK) pada 2021 di mana objektifnya mengukuhkan lagi kaedah atau mekanisme pemantauan projek LRA.

“Inilah badan sah mewakili Pegawai Penguasa Projek dalam menangani isu-isu yang sedang berbangkit dalam projek itu. Sebarang arahan atau pemikiran lain hatta daripada Pak Menteri Penyelaras atau Timbalan Menteri mahupun Menteri Besar sekalipun wajib melalui struktur carta alir dalam sistem kerja ini tanpa terkecuali.

“Tapi itu jalah depa (mereka) reti. Politik 24 jam. Belajarlah menghormati bidang tugas orang lain, bekerja mengikut sistem dan berada dalam petak masing-masing. Melawat sekali sekala tak salah, tapi projek itu ada penguasanya mengikut peraturan.

“Saya rasa sindrom ini pernah terjadi ketika kerajaan 22 bulan dulu, dan diulang lagi pada waktu ini,” bidas Sanusi lagi.

Terdahulu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu juga dikritik Sanusi kerana gagal mengadakan mesyuarat MTPN sejak November 2022. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -