Akademi YIK jana pendapatan tampung kewangan YIK

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi menampung pertambahan kos pengurusan sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), kerajaan negeri merancang memperluas entiti perniagaan di bawah Akademi YIK Sdn Bhd.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Akademik YIK sebelum ini mengendalikan stesen minyak dan projek perumahan.

Katanya, agensi terbabit merancang menambah jumlah stesen minyak dan memperluaskan projek perumahan pada masa akan datang.

“Berdasar perancangan ada beberapa tempat kita cadangkan untuk tambah stesen minyak yang diuruskan Akademi YIK. Projek perumahan di Jeli pula sudah dijual kepada pembeli,” katanya di sini.

Pada 6 September 2020 Akademi YIK membuka stesen minyak BHPetrol di Bandar Baru Tunjong. Stesen minyak terbabit terletak berhampiran pejabat baru YIK di Tunjong.

Lokasi itu di laluan utama Kota Bharu-Pasir Mas dan tidak jauh daripada stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Selain itu Akademi YIK memiliki bangunan rumah kedai terletak bersebelah Pejabat YIK di Bandar Baru Tunjong.

Malah pada 5 Feb 2023 Akademi YIK memeterai perjanjian Pajakan Tanah Perladangan Kelapa Sawit di Mukim Blau, Lojing dengan Syarikat Dirgamaju Sdn. Bhd.

Wan Roslan juga berkata, setiap tahun YIK menerima peruntukan lebih RM100 juta daripada kerajaan negeri bagi mengurus sekolah-sekolah agama.

Oleh itu, katanya YIK berusaha mengurangkan bebanan kewangan kerajaan negeri dengan mengembangkan sayap perniagaan di bawah Akademi YIK.

“Kelantan agak unik berbanding negeri-negeri lain kerana mempunyai banyak sekolah bagi menyediakan pendidikan berteras agama kepada rakyat. 

“Guru yang berkhidmat di sekolah agama di bawah YIK sekarang kira-kira 2,800 orang dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Lagi pun sekarang gaji guru YIK hanya dua skim iaitu tetap dan tidak tetap. Ini menyebabkan kos pengurusan meningkat sehingga lebih RM120 juta setahun,” ujarnya.

Kata beliau juga Akademi YIK meneroka peluang perniagaan pada masa jangka panjang bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri bagi mengurus sekolah agama. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -