Kontena Israel terlepas keluar di jalan raya kita?

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan hanya memberi amaran keras kepada pengendali pelabuhan yang ‘tersilap; membenarkan kontena tertera logo syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM bergerak di lebuh raya di negara ini tidak melambangkan tatakelola yang diamalkan.

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, pihaknya percaya dengan apa yang Ahli Parlimen Tambun ingin laksanakan tentang tatakelola, tetapi malangnya terdapat banyak kes yang terlepas pandang dari segi penguatkuasaan.

“Semalam kita dikejutkan dengan laporan berita yang mengatakan kontena Israel, syarikat perkapalan ZIM terlepas keluar di jalan raya kita.

“Menteri kata sekadar beri amaran keras, mana boleh Tan Sri Yang di-Pertua kalau KK Mart punya bagai nak rak kita ambil tindakan dan kenapa tiada tindakan undang-undang dan kertas siasatan dibuka terhadap kecuaian yang berlaku di pelabuhan,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Fayhsal turut membangkitkan ‘kebisuan’ kerajaan terhadap isu antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Rajawali yang membabitkan nasib dan masa depan orang-orang FELDA.

“Kita ada full oficial agreement antara FELDA dan Rajawali yang bernilai USD, RM719 juta dan FELDA ada pegangan dalam Eagle High sebanyak 37 peratus tetapi siapa yang bertanggungjawab di atas kerugian FELDA, yang buat onar pada FELDA diberi penghapusan hukuman pada hari tu.

“Jadi orang yang buat jenayah kolar putih diberi pelepasan, orang yang mencuri tin milo kena penjara, jadi ini tatakelola macam mana?

“Kita ingin pastikan kerajaan Madani ini buat kerja yang betul, hormati janji kepada rakyat barulah ekonomi kembali stabil,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/03/2024

- Advertisement -