Hina Islam: ‘Apa pendirian kerajaan, jangan flip flop’

Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meminda Seksyen 298 dan Seksyen 298A berkaitan dengan penghinaan kepada Islam dengan hukuman yang lebih berat supaya ia tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam negara ini.

- Advertisement -

Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, ini berikutan perbezaan layanan berkenaan isu 3R (kaum, agama dan raja) antara tulisan Allah di stoking yang dijual di pasar raya KK Mart dengan seorang pemimpin politik yang ditangkap pada jam 3 pagi ketika sedang tidur.

Ketua Pemuda PAS itu mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

“Kita ambil maklum tentang permohonan maaf oleh pihak KK Mart namun perlu ditegaskan dewan yang mulia ini, ini bukan isu mohon maaf atau isu terima maaf. Kalau hanya selesai dengan permohonan maaf sahaja maka negara kita tak perlu ada undang-undang.

“Saya bukan nak tuju kepada Beruas ataupun Ipoh Timur yang ada pengalaman dalam bab permohonan maaf ini. Saya tak tuju pada mereka. Isunya ialah kerajaan perlu noktahkan isu penghinaan kepada Islam ini dengan serius dan segera, isu ini clear (jelas) yang menyentuh 3R,” tegas beliau.

Menurutnya, individu pemimpin politik yang dikaitkan dengan 3R sebelum ini disiasat dengan segera, serta disebut dalam kenyataan media akan diambil keterangan dinyatakan lokasi serta masa dan akhirnya wartawan pun pergi ke lokasi itu, dan akhirnya menjadi panas.

“Ada pemimpin politik ini ditangkap jam 3.00 pagi ketika sedang tidur tetapi kes (nama Allah di stoking) ini belum kedengaran ada tangkapan ataupun ada sitaan ataupun ada yang nak didakwa, belum lagi, kita minta segera kerajaan segera bertindak,” gesa beliau.

Beliau merasakan dan tidak boleh menolak kemungkinan seolah-olah ada kartel tertentu yang sengaja melakukan sabotaj perpaduan dalam negara ini, dan dalam isu ini mengkambinghitamkan pihak tertentu.

“Sekarang ini isu ini berlarutan sejak beberapa tahun lamanya. Dan insiden sebegini sangat mengancam perpaduan dan menimbulkan ketegangan kaum yang kita semua tidak mahu ianya berlaku.

“Perlu untuk ditegaskan dalam dewan yang mulia ini jangan ada mana-mana pihak yang desak untuk hentikan siasatan dan tindakan ini. Jangan ada,” tegas beliau.

Menurutnya, ada percanggahan kenyataan antara pemimpin kerajaan, Ahli Dewan Rakyat daripada Teluk Intan dengan seorang Exco Kerajaan Negeri Melaka.

“Sebenarnya kita nak tahu pada hari ini, apa sebenarnya pendirian kerajaan. Jangan flip flop (berubah-ubah) dalam isu ini. (Kerajaan perlu) tegas dan serius mengambil tindakan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -