Kerap bentang perbekalan tambahan tanda kerajaan tidak cekap

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sesebuah kerajaan yang kerap membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di Parlimen menggambarkan bahawa kerajaan itu berada dalam pengurusan kewangan yang tidak cekap.

- Advertisement -

Menurut Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), perkara itu pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 2013.

“Saya nak quote kata-kata Yang Berhormat Pontian ketika jadi Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 2013, pernah menyebut, rekod bagaimana Yang Berhormat Pekan (Dato’ Sri Najib Razak).

“(Pada tahun) 2009, dua kali perbelanjaan tambahan; 2010 (dua kali); 2011 (dua kali); 2012 (dua kali); (Ahli Parlimen) Pekan pada masa itu,” ujarnya semasa berbahas dalam Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Pertama 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Namun, kata Fadhli, Ahli Parlimen Pontian pada ketika itu berkata, Anwar Ibrahim yang pada masa itu merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh telah membentangkan empat kali Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada tahun 1991, 1992, 1993, 1994, 1995 dan 1997; tiga kali pada tahun 1996 dan dua kali pada tahun 1998.

Tambah beliau, Ahmad ketika itu menyebut, jumlah itu menjadikan selama lapan tahun Anwar memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan ketika itu telah membentangkan sebanyak 29 kali Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan dalam tempoh lapan tahun.

“Saya rasa (Ahli Parlimen) Pontian boleh sahkan. Ini betul-betul ucapan daripada Pontian pada masa itu. Jadi sekarang kita tengoklah Menteri Kewangan sekarang ini berapa kali bajet tambahan dalam masa setahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -